Semak jadual kutipan sampah pukal, lancarkan proses pengurusan sisa - Utusan Malaysia

Semak jadual kutipan sampah pukal, lancarkan proses pengurusan sisa

ORANG ramai dinasihatkan menyemak jadual kutipan sisa pukal bagi kawasan perumahan masing-masing untuk melancarkan proses pengurusan sisa sekali gus menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Orang ramai yang mahu melupuskan sampah pukal seperti tilam lama, perabot dan peralatan elektrik rosak di negeri ini diminta untuk menyemak jadual kutipan sisa pukal bagi kawasan perumahan masing-masing.

Pengurus Besar Korporat, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, orang ramai kemudiannya perlu meletak barang-barang tersebut di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan sisa pukal termasuk kitar semula dan sisa taman yang dilaksanakan sekali seminggu.

“SWM Environment menawarkan penyelesaian yang mudah dan cekap kepada orang ramai untuk membuang tilam lama, perabot rosak, peralatan elektrik rosak serta sebagainya.

“Perkhidmatan pengutipan secara mingguan yang dilaksanakan satu kali seminggu kepada penduduk telah pun dijadualkan bagi setiap taman perumahan yang berada di bawah perkhidmatan SWM Environment.

“Oleh itu, penduduk diminta untuk menyemak jadual kutipan pukal taman masing-masing pada papan tanda perkhidmatan SWM Environment atau melayari laman web www.swmenvironment.com/public/schedule-collection,” katanya.

Menurut beliau, tindakan berhemah daripada penduduk dapat menyumbang kepada proses pengurusan sisa yang lebih lancar di samping menjaga kebersihan kawasan persekitaran mereka.

“Orang ramai diminta menggunakan kemudahan sedia ada bagi memastikan sampah pukal ini dapat dilupuskan dengan betul dan berhemah serta mengelakkan berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN