ARAU: Ketiadaan dan kelewatan pembekalan benih padi sehingga menyebabkan pesawah khususnya di utara kerugian dan berdepan pelbagai masalah lain musim lalu dikhuatiri berulang pada musim tanaman kali ini yang dijadual sekitar April dan Mei depan.
Malah, pesawah juga runsing memikirkan harga benih yang berkemungkinan meningkat lagi sehingga RM60 berbanding RM45 pada musim lalu.
Jadual penanaman padi musim 1/24 bagi fasa satu dijadual 17 April bagi fasa satu iaitu bagi tarikh mula pembekalan air di kawasan sawah dan bagi tarikh akhir menabur pula pada 29 Mei depan.
Bagi fasa dua dan tiga pula bermula dari Mei hingga Jun yang membabitkan keseluruhan kawasan tanaman 100,641 hektar di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Pesawah berharap masalah kelewatan atau ketiadaan bekalan benih padi tidak berulang musim ini, kerana jika pesawah memulakan tanaman dengan masalah akibat kelewatan bekalan benih itu, maka tanaman juga akan berakhir dengan masalah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim,60, berkata, pesawah masih risau jika krisis bekalan benih musim lalu berulang pada musim baharu ini.
PASARAN
Menurut beliau, setakat ini, belum ada lagi benih di pasaran menjelang musim tanaman baharu antara April sehingga Jun depan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 71,000 pesawah dalam kawasan MADA berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim jika mereka lewat mengusahakan sawah disebabkan tiada benih padi.
Mengulas lanjut Mohd. Noor berkata, harga benih pada musim ini juga dikhuatiri meningkat sehingga RM60 satu beg.
“Kenaikan mungkin berlaku disebabkan kenaikan harga jualan padi sebelum ini dari RM1,300 sehingga RM1,800. Kita tunggu dan lihat bagaimana harga benih musim ini dan kalau boleh jangan terlalu tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, bekalan benih padi musim ini diharap tiada masalah dan jika situasi sama berulang, kerajaan wajar menarik balik kuota kepada kilang-kilang yang membuat benih padi.
“Tarik balik sahaja kuota jika masalah sama sahaja berulang. Setakat, ini, kita menerima tempahan 5,000 ke 6,000 beg benih untuk pesawah ini,” katanya. – UTUSAN










