Ramasamy tak layak cakap soal pengkhianatan, beliau sendiri seorang pengkhianat - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Ramasamy tak layak cakap soal pengkhianatan, beliau sendiri seorang pengkhianat – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bekas Ahli Parlimen DAP, Dr. P. Ramasamy dibidas apabila mengingatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki supaya berhati-hati menggunakan perkataan khianat dan menyifatkan parti itu bukan mulia untuk bercakap tentang pengkhianatan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setelah meneliti kenyataannya, beliau berpandangan Ramasamy lebih baik berdiam diri dan menikmati alam persaraan daripada mengulas isu pengkhianatan.

Ini kerana katanya, Ramasamy sendiri mengkhianati partinya apabila mengumumkan keluar DAP pada 10 Ogos 2023 setelah namanya tidak tersenarai sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tahun lalu.

“Malah selepas itu, beliau mengumumkan untuk menubuhkan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) pada 27 November 2023.

“Apakah seorang pengkhianat layak berbicara soal pengkhianatan? Saya rasa rakyat sendiri boleh menilai siapa Ramasamy sebenarnya, kenyataan yang dikeluarkan beliau itu juga ibarat ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

“Sudah-sudahlah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat semata-mata untuk meraih populariti murahan demi kepentingan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, walaupun UMNO tidak mempunyai masalah dengan sokongan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia mendakwa “pengkhianat tetap pengkhianat”.

Jelas Setiausaha Agung UMNO itu, Bersatu merupakan parti yang diasaskan berdasarkan ‘pengkhianatan’ ahli-ahlinya kepada UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Susulan itu, Ramasamy mengingatkan Setiausaha Agung UMNO itu supaya berhati-hati menggunakan perkataan khianat.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Ramasamy harus sedar bahawa kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain adalah untuk mewujudkan kestabilan di negara ini seperti mana dititahkan Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Alhamdulillah, dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan, kita berupaya mewujudkan sebuah politik matang yang meraikan setiap perbezaan bagi memastikan rakyat terus hidup dalam suasana yang harmoni, sejahtera dan makmur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN