KUANTAN: Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mekanik warga Kemboja yang hilang selepas menjala ikan bersama dua rakannya di Sungai Mati, Tanjung Putus, Bukit Rangin di sini disebabkan lemas.
Mayat mangsa, Sary Tolos, 26, ditemukan pada pukul 12.05 tengah hari semalam kira-kira 300 meter dari tempat dia dilaporkan hilang pada pukul 8 malam, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, tiada kesan pergelutan berdasarkan keadaan mayat dan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menunjukkan punca kematian mangsa kerana lemas.
“Setakat ini siasatan awal, berdasarkan kepada kecederaan dialami mangsa, tidak ada menunjukkan kesan-kesan pergelutan sebelum si mati lemas.
“Daripada segi luka yang terdapat pada badannya, memang adalah kesan gigitan haiwan liar. Tapi tidak tahulah binatang apa cuma daripada keputusan bedah siasat, punca kematian adalah mati lemas.
“Jadi siasatan kita ini kita klasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan Hari Polis ke-217 peringkat daerah di Indera Mahkota di sini hari ini.
Tambah Wan Mohd. Zahari, mayat Sary ditemukan dalam keadaan sempurna di tebing sungai ketika air surut semalam tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang.
“Tular sebelum ini memberitahu mangsa dibaham buaya… kita memang tidak nafikan kawasan itu adalah kawasan habitat buaya di daerah ini. Ketika operasi mencari kita memang ada nampak kelibat buaya.
“Mayat ditemukan sempurna. Mungkin tempoh yang agak lama mayat terdampar di darat ketika air surut sebelum ditemui, kemungkinan mayat diserang haiwan liar di kawasan hutan itu,” katanya.
Jelasnya lagi, pakar patologi dijadualkan memeriksa mayat mangsa di HTAA hari ini bagi menentukan punca sebenar kesan kecederaan terbabit. – UTUSAN










