SEREMBAN: Keputusan siapakah rakan parti kerjasama Barisan Nasional (BN) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu hanya akan diputuskan oleh pihak ibu pejabat parti.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini belum ada apa-apa sebarang keputusan mengenai perkara itu dibuat oleh itu beliau berharap agar tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan mengenainya yang dilihat menimbulkan kekeliruan.
“Belum ada apa-apa kata putus, pilihan raya juga belum tahu bila, sama ada BN Sabah mahu berdiri sendiri atau bekerjasama dengan mana-mana parti, kami menunggu cadangan daripada BN Sabah dahulu sebelum keputusan dibuat di peringkat ibu pejabat.
“Walaupun UMNO Sabah ada autonomi mentadbir namun dalam soal pilihan raya mereka perlu dapat kelulusan daripada ibu pejabat yang kemudian akan tentukan hala tuju parti kita BN, yang bertanding bukan UMNO tetapi BN. Saya harap tidak ada sesiapa yang boleh mengeluarkan kenyataan apa-apa kerana nanti kelirukan semua pihak,” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bakul Makanan Sempena Ramadan di Masjid Kariah Kampung Siliau di Rantau di sini hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata bahawa parti itu dan UMNO Sabah telah mengadakan perbincangan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Mohamad sementara itu menegaskan, keutamaan BN dalam setiap pilihan raya adalah untuk memenanginya justeru BN Sabah dan parti komponennya perlu berpakat sebaiknya sebelum BN dan UMNO di peringkat ibu pejabat memikirkan apa langkah yang terbaik.
“Kita mahu menang dan tujuan kita adalah untuk mentadbir negara dan negara, dalam pilihan raya kali ini fikirlah cara terbaik untuk menang.
“Misal kata dengan team A, kita boleh menang, kita dengan team A lah, kalau dengan team B boleh menang dengan team B lah ataupun bersendirian, kalau rasa dah kuat, bersendirian pun boleh juga tetapi BN Sabah mesti mendapatkan nasihat dan kata putus daripada ibu pejabat,” katanya.-UTUSAN.










