Polis tumpaskan sindiket edar dadah, dua individu ditahan di Nilai - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan sindiket edar dadah, dua individu ditahan di Nilai

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas tertangkapnya dua individu di Nilai semalam. 

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, bertindak atas maklumat, lebih kurang pukul 1.50 pagi dalam menjalankan tugas Op Tapis, sepasukan anggota polis dari Kontinjen negeri Sembilan telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna putih di tempat letak kereta hadapan Pejabat KWSP Nilai, Bandar Baru Nilai di sini.

“Kereta berkenaan dinaiki oleh seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 40-an. Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis telah menjumpai lima bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5,225 gram. 

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 10,450 orang penagih dadah jenis Syabu. 

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan syabu dan sitaan adalah sebanyak RM172,625 dan dipercayai rampasan dadah ini untuk dibekalkan di sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Dzaffir, hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod kesalahan narkotik dan dua rekod kesalahan jenayah manakala suspek wanita tiada rekod kesalahan lampau. 

“Kedua-dua suspek kini di tahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa depan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×