Polis Pahang pantau bekas pengikut, anak 'Ayah Pin' di Pahang - Utusan Malaysia

Polis Pahang pantau bekas pengikut, anak ‘Ayah Pin’ di Pahang

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang memantau bekas pengikut dan keluarga ‘Ayah Pin’ yang berada di Rompin dan Pekan selepas timbul dakwaan terdapat gerakan bagi menghidupkan semula ajaran sesat tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, risikan polis mendapati, terdapat satu-satunya pengikut ‘Ayah Pin’ yang aktif di negeri ini, namun sudah berpindah ke kampung halamannya di Perak.

“Selain itu, perkembangan bekas pengikut dan anak ‘Ayah Pin’ di Rompin akan terus diikuti rapat bagi mengesan sebarang kegiatan dan usaha ke arah mengaktifkan kembali ajaran itu,” katanya di sini hari ini.

Yahaya berkata, tindakan tegas akan diambil jika ada usaha-usaha untuk menghidupkan kembali ajaran ini yang sudah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan ajaran sesat ‘Ayah Pin’ yang pernah menggemparkan negara dengan Kerajaan Langit didakwa kembali aktif dengan wujud gerakan pihak tertentu untuk menghidupkan semula kumpulan agama sesat itu.

Perkara itu didedahkan seorang imam masjid di Kampung Gong Pasir, Besut, Terengganu dikenali Tengku Azlan Raja Mamat menerusi satu perkongsian di Facebook miliknya yang menggunakan nama Imam Muda Kulan.

Susulan itu juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, risikan pihak berkuasa mendapati ajaran sesat tersebut telah mula bertapak di Pekan dan Rompin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN