SELAYANG: Keputusan meminda perlembagaan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bagi membolehkan keahlian enam ahli parlimennya yang beralih sokongan kepada
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhenti dan kerusi mereka dikosongkan selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi perlembagaan sedia ada, kepimpinan Bersatu hanya boleh menggantung keahlian keenam-enam ahli parlimen berkenaan tanpa memberi kesan kepada kerusi dimenangi.
Justeru, menurut beliau, pindaan perlembagaan bertujuan menyelaraskan peruntukan perlembagaan Bersatu dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang anti lompat parti.
“Jadi kita pulangkan semula mandat kepada rakyat di enam buah kawasan.
“Saya yakin dengan pelbagai penipuan dan kegagalan Kerajaan Madani, Perikatan Nasional (PN) akan menang besar di semua kerusi ini, insya-Allah,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Selayang, petang ini..
Enam ahli Parimen Bersatu yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).- UTUSAN










