PUTRAJAYA: Semua parti politik di negara ini perlu meminda perlembagaan parti masing-masing berhubung pelucutan keahlian bagi ahli parlimen yang menyokong pihak lawan.
Ia seperti dilaksanakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Mesyuarat Agung Khas parti supaya ahli parlimen yang mewakili parti mereka yang bertanding atas tiket parti setia kepada parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) tidak boleh sewenang-wenangnya beralih sokongan kepada kerajaan memerintah.
“Ia (kononnya) atas nama menyokong kerajaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat atau di luar Dewan Rakyat.
“Kemenangan wakil rakyat bertanding atas tiket parti dalam pilihan raya adalah keputusan pengundi yang memilih parti itu,” katanya di sini semalam.
PINDAAN
Dalam Mesyuarat Agung Khas Bersatu Sabtu lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu melibatkan tambahan tiga perkara baharu dalam Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan kelulusan sebulat suara itu, keahlian ahli parti yang menyokong pihak lawan akan terhenti selepas pindaan perlembagaan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, dalam proses pilihan raya di negara ini, hakikatnya adalah rata-rata pengundi memilih parti dan hanya minoriti pengundi memilih calon.
Sebagai dalilnya, kata beliau, tiada calon Bebas menang dalam pertandingan mana-mana empat PRU sebelum ini (2008, 2013, 2018 dan 2022).
Merujuk PRU15 lalu, katanya, semua yang bertanding dan memenangi kerusi adalah atas tiket parti manakala semua calon Bebas kalah.
TERPILIH
“Justeru, tidak adil sebagai wakil-wakil rakyat yang sudah terpilih, (waima atas alasan atau sebab apa sekalipun), di dalam Dewan Rakyat mereka mengalih sokongan kepada parti lawan, atas nama menyokong Perdana Menteri.
“Jika budaya demokrasi dan sikap politik seperti ini tidak dibendung, maka prinsip demokrasi berperwakilan melalui sistem pilihan raya pelbagai parti yang kita amalkan sejak Merdeka akan rosak,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Wan Ahmad, pindaan Perlembagaan Bersatu itu perlu mendapat pengesahan RoS kerana itu syarat utama dalam Akta Pertubuhan.
Pada masa sama, ia bersesuaian dengan Akta-Akta SPR berkaitan proses pilihan raya.
Katanya, apabila diluluskan dan pindaan itu disahkan oleh RoS, maka perkara yang dipinda itu berkuat kuasa serta-merta sekali gus enam ahli parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri itu secara rasmi hilang status keahlian sebagai ahli Bersatu dan secara automatik mereka perlu mengosongkan kerusi.- UTUSAN










