KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan pendapatan berjumlah RM127 bilion dengan ketibaan 27.3 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kerajaan turut menyasarkan hasil berjumlah RM125.5 bilion dengan ketibaan 31.4 juta pelancong pada tahun hadapan.
Katanya, kerajaan menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM147.1 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) yang dijadualkan pada 2026.
Sehubungan itu, katanya, pelbagai program dan langkah dirangka bagi menarik lebih ramai pelancong melawat negara ini termasuk kempen TMM yang menjadi agenda negara bagi sektor pelancongan.
“Bagi menjayakan program ini, kementerian memerlukan sokongan padu kerajaan negeri, penggiat industri dan rakyat dalam membuat persiapan rapi menerima kedatangan lebih ramai pelancong asing,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau [PH-Tuaran] mengenai sasaran pulangan pelancongan kepada ekonomi negara serta program dan langkah menarik lebih banyak pelancong asing melawat Malaysia.
Untuk rekod, katanya, seramai 20.1 juta pelancong asing tiba di negara ini, dengan pendapatan bernilai RM71.3 bilion pada tahun lalu.
Pada 11 Februari lalu, Tourism Malaysia dilaporkan yakin sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong asing bagi tahun ini dapat dicapai.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar berkata, sasaran itu disokong oleh faktor-faktor seperti pemberian Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa – Sewa Khas kepada syarikat penerbangan selain Pelan Liberalisasi Visa dan promosi pelancongan yang diperhebat di luar negara.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, MOTAC melalui Tourism Malaysia, akan meneruskan penyertaan aktif dalam pameran pelancongan antarabangsa merangkumi pasaran utama di seluruh dunia.
Katanya, penyertaan itu penting bagi memastikan penjenamaan ‘Malaysia Truly Asia’ kekal menjadi pilihan pelancong seluruh dunia, terutama apabila negara pesaing agresif mempromosi destinasi masing-masing di pameran itu.
Jelasnya, kerajaan melalui jabatan pelancongan negeri turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyokong usaha penganjuran kempen tahun melawat negeri seperti dirancang.
“Sehingga kini, empat negeri masing-masing Melaka, Perlis, Kelantan dan Perak sudah mengumumkan kempen melawat negeri, tahun ini. Kerajaan turut menganjur program lawatan ‘familiarisation’ bersama media dan agensi pelancongan bagi memberi pendedahan dan pengalaman terhadap produk dan destinasi pelancongan baharu,” katanya. – UTUSAN










