SEREMBAN: Paras air di tujuh empangan utama di negeri ini masih berada dalam keadaan baik dan terkawal ketika cuaca panas yang melanda waktu ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, paras air di empangan belum lagi terjejas walaupun empat daerah di negeri ini iaitu Seremban, Jelebu, Rembau dan Tampin mencatatkan tahap satu bagi status cuaca panas.
“Beberapa kawasan di Negeri Sembilan yang mengalami keadaan cuaca kering berikutan mengalami hari tanpa hujan selama atau melebihi tujuh hari berturut-turut juga haruslah mematuhi larangan pembakaran terbuka iaitu Kuala Pilah, Jelebu, Jempol dan Tampin.
“Dijangka cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah celsius berterusan di satu dua tempat di Negeri Sembilan sepanjang bulan Mac ini sehingga pertengahan April.
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memberi perhatian kepada kesihatan terutama yang menjalankan ibadat puasa dan tidak membuat pembakaran terbuka yang menyumbang kepada peningkatan suhu persekitaran seterusnya boleh membahayakan kesihatan orang ramai,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin turut mengumumkan, Waktu Bekerja Fleksi (WBF) Khas Bulan Ramadan Tahun 2024 iaitu keistimewaan yang dikhaskan kepada penjawat awam wanita untuk membuat pilihan pulang lebih awal pada hari Jumaat.
“Ia terpakai pada penjawat awam wanita yang telah cukup jam bekerja dan pulang seawal jam 2 petang dengan syarat tiada waktu rehat tengah hari.
“Pelaksanaan WBF ini merangkumi pilihan WBF bulan Ramadan, di mana penjawat awam dibenarkan pulang 30 minit lebih awal setelah waktu rehat dikurangkan 30 minit,” katanya.-UTUSAN.









