SEREMBAN: Negeri Sembilan optimis sasaran nilai pelaburan baharu lebih RM10 bilion yang ditetapkan pada tahun ini mampu dicapai melihat kepada beberapa potensi pelabur yang menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri telah menerima banyak pertanyaan daripada pelabur yang berpotensi namun beliau belum boleh dapat mendedahkannya.
“Ini adalah satu kemungkinan yang nyata memandangkan pembukaan beberapa kawasan perindustrian baharu telahpun siap.
“Dalam pada itu, kami juga menerima banyak pertanyaan daripada pelabur berpotensi melalui Invest NS dan kerajaan negeri yakin harus memperoleh sekurang-kurangnya RM10 bilion seperti tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata, banyak pelabur telah menyatakan minat untuk melabur di negeri ini dan kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk memudahkannya.
“Pelabur boleh mendapatkan semua maklumat yang diperlukan daripada Invest NS. Bagi kerajaan negeri, kami bersedia untuk menghulurkan bantuan dengan memberi mereka sokongan teknikal dan kelulusan segera, kami akan pastikan semua proses selesai dengan cepat dan cekap,”katanya.
Invest NS ialah cabang pelaburan kerajaan negeri yang diamanahkan untuk mempromosikan peluang pelaburan di negeri ini.
Minggu lalu, Aminuddin dilaporkan berkata, Negeri Sembilan berjaya mencapai memperoleh nilai pelaburan sebanyak RM10.1 bilion menerusi 189 projek yang telah diluluskan pada tahun lalu berdasarkan rekod kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Jumlah itu melepasi nilai RM10 bilion yang disasarkan malah merupakan pencapaian pelaburan terbaik dan tertinggi yang dicatatkan dalam sejarah di Negeri Sembilan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.1 bilion adalah pelaburan domestik manakala RM6 bilion adalah daripada pelaburan luar negara.
Ia sekali gus ia merupakan lonjakan sebanyak 13 peratus berbanding nilai pelaburan yang diterima pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM8.9 billion.
Sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar dengan RM7.6 bilion, diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM2.5 bilion.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, rakyat di negeri ini diingatkan supaya mengamalkan langkah berjimat-cermat dalam berbelanja bagi mengelakkan pembaziran makanan berlaku sepanjang bulan Ramadan.
Aminuddin berkata, langkah berjimat-cermat itu perlu dan seharusnya berbelanja mengikut keperluan sahaja.
“Memang daripada aspek lain ia boleh memacu ekonomi namun perkara sebaliknya adalah berlakunya pembaziran, dan seharusnya kita perlu mengawal nafsu berbelanja. Kita sememangnya digalakkan untuk menyambut bulan Ramadan namun biarlah pada perbelanjaan yang cermat dan berpada-pada serta tidak berlebihan,” katanya lagi.-UTUSAN.











