SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker kini merupakan Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu dilantik bagi menggantikan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad yang memikul tugas berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh menerusi kenyataan memberitahu, pelantikan Mohamad Hanifah itu adalah selaras dengan penstrukturan semula PN Negeri Sembilan yang diadakan baru-baru ini.
Kata beliau, bagi tujuan semak dan imbang terhadap keberkesanan tadbir urus yang baik bagi kerajaan Negeri Sembilan, lima orang ADUN PN di negeri juga akan memantau portfolio setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Ia termasuklah portfolio Kewangan, Tanah dan Sumber; Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan serta Pembangunan Belia dan Sukan yang akan dipantau oleh Mohamad Hanifah.
ADUN Serting yang merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd. Fairuz Mohd. Isa pula akan memantau portfolio Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Pendidikan dan Modal Insan serta Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO.
Selepas PRN yang diadakan pada tahun lalu, PN telah memenangi lima buah daripada keseluruhan 36 kerusi DUN di negeri ini iaitu di Labu, Gemas, Serting, Paroi dan Bagan Pinang.-UTUSAN.










