KAMPAR: Minyak masak peket satu kilogram yang menjadi pilihan utama pengguna sukar ditemui setiap menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan di sebuah pasar raya di Kampar dekat sini semalam mendapati, rak minyak masak hanya dipenuhi dengan jenis botol lima kilogram (kg) pelbagai jenama yang dijual dengan harga RM25.90 hingga RM34.59.
Pemilik pasar mini di Jalan Baldwin, Tapah dekat sini yang mahu dikenali sebagai Mutusamy berkata, setiap kali Ramadan atau Aidilfitri memang berlaku tiada bekalan minyak masak peket bersubsidi
“Sebenarnya sudah bertahun perkara ini berlaku lagi-lagi semasa perayaan. Kebanyakan pembeli saya gemar membeli minyak masak peket sekilogram kerana harganya murah iaitu RM2.50.
Pemilik kedai runcit di Jalan Wawasan, Tanjung Malim dekat sini, Rosli Hassan berkata, minyak masak botol harganya terlalu mahal berbanding minyak masak peket bersubsidi.
“Minyak masak peket sekilogram harganya RM2.50 sementara harga minyak masak botol 5 kg paling murah RM25.90.
“Jika buat matematik minyak masak peket lima kg jumlah keseluruhannya ialah RM12.50 berbanding minyak masak botol 5 kg ialah RM25.90 iaitu peningkatan harga lebih 100 peratus cuma bezanya ialah pembungkusannya iaitu plastik dan botol.
“Apa susah, minyak masak peket boleh dimasukkan dalam bekas jadi tiada isu mengenai bentuk produk cuma pentingnya harga berpatutan dan sentiasa ada dalam pasaran,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Rosalinda Nazri, 42, dari Kampung Kepayang di sini berharap, pihak berkenaan dapat memastikan stok minyak masak peket sekilogram sentiasa ada di pasaran.
Katanya, kenaikan kos sarahidup menjadikan minyak masak peket jadi pilihan pengguna disebabkan harganya jauh lebih murah berbanding minyak botol.
“Saya seorang suri rumah, suami pula hanya pekerja industri dengan gaji tidak seberapa. Kami perlu menyara empat anak yang masih bersekolah dan belajar di universiti,” katanya. – UTUSAN










