SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) meraikan seramai 200 orang anak yatim, asnaf dan orang kurang upaya (OKU) dari empat buah rumah kebajikan dalam majlis berbuka puasa di Bandar Sri Sendayan, di sini semalam.
Empat buah rumah kebajikan tersebut adalah Rumah Darul Asnaf Seri Tanjung, Kuala Pilah; Rumah Darul Asnaf Sri Sendayan; Yayasan Kasih Sayang dan Bengkel Seri Sembilan (OKU).
Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, Majlis Santunan Ramadan Matrix Concepts itu merupakan majlis yang diadakan setiap tahun sejak 2019 namun kali ini ia pertama kali dianjurkan selepas pandemik Covid-19.
“Sejak dianjurkan pada 2019, ia melibatkan seluruh warga kerja dan anak syarikat secara serentak untuk bersama menyertai program tanggungjawab sosial ini dan meraikan insan memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut semalam.
Yang hadir sama pada majlis itu, Pengasas dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.
Dalam pada itu, Mohamad Haslah berkata, majlis tersebut juga bertujuan merapatkan ukhwah dan mewujudkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga pekerja dan insan memerlukan.
“Semangat mewujudkan kekeluargaan adalah selari dengan agenda syarikat dalam program tanggungjawab sosial kami untuk menjadikan pengukuhan kekeluargaan sebagai teras masyarakat di sekitar Bandar Seri Sendayan,” katanya lagi.-UTUSAN.










