Mahu ambil SPM walaupun sudah bekerjaya

Mahu ambil SPM walaupun sudah bekerjaya

NATASHA Amira Mohd. Faisal (kiri) menetapkan azam untuk mengambil SPM walaupun sudah mempunyai kerjaya dalam bidang pemasaran digital. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada istilah terlewat buat seorang gadis berusia 25 tahun, yang mahu mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun telah bekerja dan mempunyai pendapatan lima angka. 

Tercicir dan tidak berpeluang menduduki SPM sebelum ini atas kekangan kewangan keluarga, Natasha Amira Mohd. Faisal mengakui sangat terkesan kerana tidak mendapat sijil tersebut. 

Gadis dari Kampung Kondok, Labu ini mengakui hidupnya pada awal ibarat tanpa hala tuju kerana memikirkan mungkin tidak mempunyai masa depan yang cerah. 

Namun, bak kata pepatah, rezeki tidak pernah salah alamat. Dan kini, anak sulung daripada enam adik-beradik itu diberi peluang bekerja di sebuah syarikat swasta di Nilai meskipun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut. 

“Saya sudah lebih dua tahun bekerja dalam bidang pemasaran digital, Alhamdulillah, sejak saya bekerja di sini, ia seakan memberi saya ‘nyawa’ untuk meneruskan kehidupan. Di sinilah tempat saya banyak belajar ilmu pemasaran. 

“Seperti syarikat lain, pekerja diarahkan untuk mencapai sasaran jualan produk yang dipasarkan. Empat bulan selepas saya bekerja, saya tidak menyangka mampu meraih jualan tertinggi,” katanya ketika ditemui. 

Katanya, dia pada awalnya sedikit kekok dalam bidang berkenaan kerana tidak mempunyai keyakinan dan tiada pengalaman.

“Dulu pernah membantu ibu berniaga, tetapi apabila masuk dalam bidang pemasaran ini lain pula caranya. Kalau kita belajar dengan orang yang betul tidak mustahil boleh berjaya,” katanya.

Natasha Amira kini menyimpan hasrat untuk menyambung pelajarannya demi memajukan diri.

“Saya akan menduduki semula SPM nanti kerana sekurang-kurangnya saya mempunyai sijil untuk memajukan dirinya dalam lapangan yang diceburi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN