Lelaki bakar diri di luar ibu pejabat PBB meninggal dunia

Lelaki bakar diri di luar ibu pejabat PBB meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang lelaki meninggal dunia selepas membakar dirinya di luar ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis, menurut Jabatan Polis New York (NYPD).

Media Amerika Syarikat (AS) serta seorang aktivis pro-Tibet mendakwa lelaki itu merupakan penyokong perjuangan Tibet, namun pihak penyiasat belum mengesahkan dakwaan berkenaan.

Menurut NYPD, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.32 petang (waktu tempatan) mengenai seorang lelaki yang membakar dirinya di persimpangan First Avenue dan 42nd Street.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Bellevue. Polis berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat ini tiada motif kejadian didedahkan.

Presiden Kempen Antarabangsa untuk Tibet, Tencho Gyatso mengenal pasti mangsa sebagai Lobga Rangzen.

Dalam kenyataan kepada AFP, beliau menyifatkan Rangzen sebagai seorang pejuang yang gigih memperjuangkan hak rakyat Tibet secara aman serta meningkatkan kesedaran mengenai krisis hak asasi manusia di wilayah itu.

Menurut Gyatso, Rangzen lantang mengkritik undang-undang baharu China, Undang-undang Penggalakan Perpaduan dan Kemajuan Etnik yang menurut Beijing bertujuan membentuk identiti kebangsaan bersama dalam kalangan kumpulan etnik.

Bagaimanapun, aktivis di luar negara berpendapat undang-undang itu akan terus menjejaskan hak golongan minoriti etnik seperti masyarakat Uyghur dan Tibet, yang didakwa menjadi mangsa penindasan oleh Beijing.

Pihak PBB belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan ulasan.

China menghantar tenteranya ke Tibet pada 1950 dan menganggap dataran tinggi itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Pemimpin kerohanian Tibet berusia 90 tahun, Dalai Lama telah menetap di India sejak melarikan diri dari ibu kota Tibet, Lhasa selepas kebangkitan rakyat Tibet dipatahkan tentera China pada 1959.

Dasar Jalan Tengah yang diperjuangkan Dalai Lama sejak sekian lama menuntut autonomi bagi Tibet serta penyelesaian konflik China-Tibet melalui pendekatan tanpa keganasan, dialog dan manfaat bersama.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN