KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adik Waniey mengakui limitasi untuk mencari rezeki dalam bidang nyanyian di Kelantan membuatkan dirinya pernah terfikir untuk berhenti menyanyi dan beralih ke bidang lain untuk menjana pendapatan.
Waniey atau Azmahirwani Nordin, 35, berkata, penetapan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang mengehadkan persembahan terbuka dalam kalangan penyanyi wanita menjadi antara faktor dirinya kurang mendapat tawaran di negeri itu.
“Buat masa sekarang memang tiada sebarang tawaran menyanyi di Kelantan. Saya banyak terima undangan pun di luar Kelantan kerana garis panduan yang telah di tetapkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
“Memang susah untuk penyanyi wanita ‘mencari makan’ di Kelantan. Kalau ikutkan hati memang saya mahu berhenti menyanyi lebih-lebih lagi apabila saya pernah dikecam netizen dan dianggap tidak laku di media sosial,” katanya.
Waniey berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Kelate Ke KL 2026, pada Rabu lalu.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Tubik Masuk itu mengakui pernah terfikir untuk mengembangkan bakatnya di ibu kota, namun terpaksa mengetepikan impian tersebut mengenangkan perniagaan perkhidmatan pengurusan acara di sana sudah stabil.
“Sekiranya tidak ada sebarang undangan, saya ada ada pekerjaan lain seperti menjadi hos di TikTok sebagai ejen pemasaran.
“Selain itu, saya juga ada menguruskan perniagaan bersama suami di mana kami menyediakan perkhidmatan pengurusan acara untuk sistem bunyi.
“Saya pernah saja terfikir untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Tetapi mengenangkan perniagaan di sini sudah stabil, saya memilih untuk menetap di sini saja,” jelasnya.
Sebelum ini, Waniey pernah meluahkan rasa teruja apabila berpeluang menghiburkan peminatnya di Konsert Kelate Ke KL 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos ini.
Bertempat di Zepp Kuala Lumpur, konsert itu turut menghimpunkan barisan penyanyi dari Kelantan yang lain seperti Eda Ezrin, Den Manjo, Rosalinda, Man Khan, Fendi Kenali dan Aris Kapilla.










