MUKADIMAH
Jangan beri harapan palsu kepada rakyat. Itu inti pati yang dapat dicerakinkan daripada sesi pertemuan antara Utusan Malaysia dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, DATUK MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka itu antara wakil rakyat yang mendapat perhatian masyarakat melalui perkongsian pelbagai video menarik di platform media sosial.
Selaku ahli politik generasi baharu, Mohd. Noor Helmy yang gemar menggelarkan dirinya sebagai Mat dilihat cukup pantas dalam menyelesaikan isu-isu setempat di kawasannya.
Kepada wartawan HADI AB. MANAP, beliau berkongsi pengalamannya sebagai Yang Berhormat (YB) sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November 2021.
UTUSAN: Datuk dilihat aktif dengan gerak kerja melalui perkongsian video di laman sosial. Adakah ia keperluan?
MOHD. NOOR HELMY: Tunjuk ini ada tiga sebab. Satu sebab kita hendak maklumkan benda ini kita ambil tahu. Nombor dua, kita hendak mengajar masyarakat, kadang-kadang video itu kita hendak beritahu benda ini sepatutnya boleh, sepatutnya tidak boleh. Yang ketiga, keadaan politik kita hari ini, mereka hendak tengok tindakan-tindakan itu dalam bentuk bagaimana. Jadi, setakat kita menyatakan tindakan tanpa menghasilkan yang dua tadi , iaitu mendidik, mengasuh, ia tidak akan mendatangkan faedah. Jadi, itu tujuannya.
Tindakan pantas Datuk berjaya menyelesaikan pelbagai isu. Adakah bertindak pantas dalam menyelesaikan masalah menjadi kriteria utama untuk relevan pada mata masyarakat?
Pantas ini boleh jadi subjektif. Bila mana saya vokal, antara dualah, dibenci atau dihormati. Saya tidak tahu adakah tindakan itu diambil (oleh pihak berwajib) kerana menghormati saya atas amanah yang saya pegang ataupun sudah benci, saya bising-bising jadi mereka buat (selesaikan). Tapi saya hendak tengok hasilnya, benci atau menghormati tidak penting, pada saya, saya hendak hasil.
Apa perbezaan ketara antara kepemimpinan Datuk dengan kepemimpinan Duyong yang terdahulu?
Kalau tanya saya okey sahaja, macam mana saya hendak komen? Kalau tanya saya benda itu, masing-masing dengan gaya masing-masing, kepemimpinan terdahulu mungkin ada kekurangan dan kelebihan.
Kelebihan yang ada itu saya sambung, mana ada kekurangan saya tambah baik. Hendak kata saya buat pembaharuan sangat pun tidak juga, saya pun mewarisi pentadbiran yang ada. Duyong ini pinggir bandar, banyak sudah tersedia. Saya hanya menambah baik, naik taraf dan mengatasi perkara-perkara yang mungkin tidak dapat diselesaikan pada waktu itu. Isu banjir, ramai kata zaman saya boleh selesai banjir, tidak juga. Mungkin waktu itu mereka sudah usaha, mungkin kelulusan itu tidak dapat pada waktu itu. Mungkin juga jalan penyelesaian tidak jumpa pada waktu itu. Tinggal kebetulan pada waktu saya, nampak jalan itu.
Bagaimana pula dengan kepemimpinan kerajaan negeri?
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh ini orang korporat. Bila korporat, beliau urus negeri ini berdasarkan korporat. Jadi, kita orang yang biasa dalam perniagaan, ikut rentak Yang Amat Berhormat (YAB) ini laju, beliau laju jenis results oriented. Jadi, macam saya yang results oriented, kita okey boleh ikut dan kita lagi suka sebab kita boleh buat. Beliau laju, kita pun laju. Jangan kita laju, beliau lemau, kita seram. Tapi yang ini beliau laju, kadang kita pula tidak terkejar.
Masa depan Barisan Nasional (BN) di Duyong terutama pada PRN akan datang?
Politik hari ini fragile, terlalu rapuh. Tidak ada siapa pun boleh mengatakan dia kuat. Tiada siapa pun boleh mengatakan dia mendapat sokongan rakyat sebab rakyat boleh ubah dalam sekelip mata. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Apa yang saya tahu, saya cuba buat yang terbaik sama ada sampai waktu itu, saya ada lagi atau tidak. Perkara yang saya tidak mahu, saya tidak mahu cakap berilah saya peluang, saya hendak tambah baik apa yang ada. Tidak, saya sudah buat yang terbaik. Lima tahun ini saya sudah buat yang terbaik. Kalau hendak kata saya hendak usaha lagi untuk beri yang terbaik, saya sudah tidak mampu, itulah yang terbaik. Kalau saya diberi peluang lagi, saya akan meneruskan apa yang saya ada. Saya tidak boleh kata, saya akan cuba yang terbaik. – UTUSAN










