KUALA LUMPUR: Dianggarkan lebih 1,000 Himpunan Mega Demi Palestin berhimpun di Padang Merbok di sini bagi menzahirkan solidariti terhadap Palestin.
Kesemua peserta himpunan dari pelbagai lapisan masyarakat itu berarak dari Menara Tabung Haji bermula pukul 2.20 petang menuju ke beberapa ‘checkpoint’ sebelum berkumpul di Padang Merbok di sini pada pukul 4.30 petang.
Tinjauan mendapati perhimpunan itu aman dan tiada provokasi sepanjang dua jam perarakan tersebut.
Perhimpunan itu turut mendapat sokongan beberapa aktivis dan pemimpin politik antaranya Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir Chua Tian Chang dan Hishamuddin Rais yang turut berarak bersama peserta.
Selain itu, pelancong asing dilihat turut serta dalam perarakan bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin.
PERARAKAN
Kira-kira 100 pegawai dan anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi berkawal sepanjang perarakan dan perhimpunan tersebut.
Selepas dua jam berarak, peserta tiba di `checkpoint’ terakhir di Padang Merbok untuk acara terakhir berkumpul dan mendengar ucapan 30 pemimpin politik dan aktivis serta badan bukan kerajaan (NGO).
Turut serta ialah Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, wakil Freedom Flotilla Coalition (FFC), Dr. Fauziah Mohd. Hasan penyelidik Palestin Centre of Excellence (PACE), Khalid Jimat dan Presiden Sejagat, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan. Perhimpunan itu berakhir pada pukul 6 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, perhimpunan tersebut berjalan dengan baik dan lancar tanpa ada sebarang insiden berlaku.
Katanya, beliau menganggarkan kira-kira 1,000 peserta yang menyertai himpunan terbabit.
“Kita juga menempatkan anggota secukupnya bagi memastikan perhimpunan terbabit aman,” kata beliau. – UTUSAN









