PETALING JAYA: Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan fahaman politik diajak sama-sama menyertai Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Perhimpunan itu sebagai tanda solidariti Malaysia terhadap kesengsaraan dilalui penduduk Palestin yang diserang Zionis Israel.
Sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap Palestin penting kerana konflik yang tercetus akibat serangan besar-besaran Israel menyebabkan ribuan nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita terkorban.

Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang menyertai perhimpunan berkenaan.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam (hari ini) sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan semalam.
Menerusi poster dikongsi di media sosial, perhimpunan tersebut dijadualkan bermula pukul 7.30 malam hingga 10.30 malam.
Turut berkongsi poster sama Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Dianggarkan lebih 20,000 orang ramai dijangka menghadiri perhimpunan itu dengan peserta digalakkan berpakaian putih.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 4,600 penduduk di Semenanjung Gaza terkorban dan lebih 13,000 cedera sejak Zionis mengebom tanpa henti wilayah terkepung itu selain menapis bantuan antarabangsa.
Sementara itu, Gabungan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Seluruh Malaysia dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri dijangka menyampaikan amanat khas pada perhimpunan itu.
UCAPAN
“Program yang akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah itu akan diteruskan dengan ucapan wakil-wakil NGO sebelum ditutup dengan ucapan khas Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.
Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safwan Ujar pula berkata, akibat konflik tersebut rakyat Palestin kini terpaksa berpindah-randah untuk ke lokasi-lokasi yang lebih selamat kerana serangan pengeboman tentera Zionis tidak menentu.
“Setakat hari ini, kami sedang berusaha untuk sampai ke Bandar Al Arish iaitu 45 kilometer dari sempadan Rafah bagi menghantar bantuan-bantuan yang dikumpul.
“Antara barangan yang sangat diperlukan ialah pek makanan, minuman, ubat termasuk tuala wanita dan lampin pakai buang,” kata beliau yang kini berada di Mesir dalam misi kemanusiaan Semenanjung Gaza.
Menurut beliau, semua bantuan tersebut akan ditempatkan di pusat pengumpulan Bulan Sabit Merah Mesir.
Kata Ahmad, sehingga kini pihaknya belum mengetahui bila bantuan tersebut boleh dihantar ke Gaza kerana buat masa ini Bulan Sabit Merah juga tidak dibenarkan masuk.
Mengulas lanjut, kata Ahmad, nilai bantuan yang dikumpul MCM setakat ini berjumlah RM1.5 juta.
Katanya, MCM mempunyai subsidari di Gaza iaitu Muslim Care Malaysia – Palestin yang dipengerusikan oleh Ahmed Abu Ayesh yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza.
MAKANAN
“Beliau menggerakkan bantuan pek makanan sejak hari keempat (serangan) sehingga hari ini. Insya-Allah MCM akan terus menyalurkan bantuan dan pasukan di Gaza akan menggerakkannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman berkata, pihaknya menggunakan pendekatan berurusan terus dengan syarikat-syarikat strategik yang berada di bumi Gaza untuk menghulur bantuan dengan lebih efektif dan segera.
Beliau yang menetap di Gaza sejak lebih 10 tahun lalu berkata, CGM mempunyai perjanjian persefahaman dengan beberapa syarikat pembekal di Palestin supaya memudahkan urusan semua pihak.
“Pada mula konflik tercetus, sebanyak RM1.3 juta disalurkan terus ke Gaza dalam beberapa bentuk bantuan seperti perubatan, tilam, selimut, diesel bagi menggerakkan ambulans, jana kuasa elektrik hospital dan peralatan menyelamat kepada pasukan pertahanan awam,” katanya.
Pengerusi Global Peace Mission, Ahmad Fahmi Samsudin yang juga sekretariat program perhimpunan di Axiata berkata, himpunan berkenaan akan diteruskan di negeri-negeri dalam sesi jelajah 1,000,000 Pembela Palestin.
Beliau berkata, himpunan di negeri akan dimulakan di Stadium Hang Jebat di Melaka pada Ahad, 29 Oktober ini. – UTUSAN










