Boleh laung takbir, kecam Netanyahu

Boleh laung takbir, kecam Netanyahu

KPM melarang sebarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah melarang mana-mana pihak untuk melaungkan takbir dan mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam sebarang himpunan solidariti Palestin di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, himpunan solidariti yang dianjurkan oleh Viva Palestina Ahad lalu tidak seharusnya dijadikan isu kerana himpunan tersebut sebenarnya turut melibatkan laungan takbir dan mengecam Netanyahu.

“Saya tengok balik himpunan yang dianjurkan oleh Dr. Musa Nordin, isu takbir ini tiada isu sebenarnya kerana Nurul Izzah Anwar dan Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin melaungkan takbir semasa berucap.

“Malah, ramai yang takbir, tidak ada halangan. Penganjur cuma mengingatkan ia himpunan pelbagai kaum supaya semua orang boleh sertai dan berharap ia menjadi sebuah himpunan yang inklusif,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam.

Bukan itu sahaja, katanya, kerajaan turut menggalakkan mana-mana pihak untuk mengadakan himpunan solidariti tanpa sebarang larangan mahupun syarat tertentu.

“Hal ini cuma penganjur itu mengikut budi bicara dan kefahamannya, itu sahaja. Kalau mahu anjurkan 10,000 ke 20,000 orang, takbirlah. Kalau saya ada masa, saya akan ikut serta dan saya akan takbir sekuat-kuatnya,” katanya.

Jelasnya, pendirian kerajaan terhadap isu Palestin juga tidak pernah berubah dalam soal pengiktirafan dan simpati terhadap nasib mereka.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sama ada kerajaan mengeluarkan apa-apa garis panduan tentang perkara yang boleh diucapkan atau tidak boleh diucapkan dalam sesuatu demonstrasi aman.

Ketika ditanya oleh Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) sama ada kerajaan bersedia untuk memendekkan tempoh lima hari notis kepada 48 jam untuk mengadakan himpunan solidariti, Saifuddin memberi jaminan pihak polis akan menggunakan budi bicaranya untuk memberi kebenaran sewajarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN