Lanjut pendaftaran PADU - YPNM - Utusan Malaysia

Lanjut pendaftaran PADU – YPNM

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan diminta melanjutkan proses pendaftaran serta mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan berakhir pada 31 Mac ini.

Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, lanjutan antara satu ke dua bulan lagi perlu diberikan bagi memberikan masa kepada rakyat yang belum memahami dan was-was tentang sistem PADU.

“Kalau kita lihat sehingga semalam, jumlah rekod pengemaskinian maklumat individu adalah seramai 9.84 juta orang daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem PADU berdasarkan sumber data pentadbiran.

“Ini menunjukkan masih ramai rakyat yang belum mendaftar dan mengemaskini sistem PADU. Jadi adalah wajar kerajaan beri lanjutan masa, paling lama pun dalam dua bulan lagi,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan rekod dalam sistem PADU, bilangan warganegara adalah 30.08 juta.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac ini iaitu esok bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Ia berperanan untuk memastikan setiap warga negara yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat.

Sistem ini mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berusia 18 tahun ke atas.

Mengulas lanjut, Firdaus berharap kerajaan melibatkan pentadbiran peringkat kampung bagi memberikan penjelasan kepada penduduk tentang kepentingan dan keperluan pendaftaran PADU.

“Dalam tempoh lanjutan jika diberikan nanti, kerajaan perlu menggiatkan usaha bagi memberi keyakinan kepada rakyat khususnya yang tinggal di kampung-kampung untuk membuat pendaftaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya