KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengeluarkan perintah sementara kepada 81 pelabur bagi melarang syarikat penanaman kelapa sawit mengadakan mesyuarat, meminda pulangan setiap perjanjian pendapatan bersih dan menyusun semula pelan pelaburan serta membekukan aset syarikat berkenaan.
Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ia keputusan tepat oleh pihak mahkamah dan permulaan cerah buat pelabur-pelabur terbabit bagi mendapatkan kembali wang pelaburan mereka daripada syarikat berkenaan.
“YPNM menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan perintah sementara terhadap saman dikemukakan Tan Shoi Chew dan 81 pelabur setelah tidak memperoleh apa-apa pulangan hasil pelaburan dengan syarlkat penanaman kelapa sawit tersebut.
“Semoga ini menjadi permulaan baik buat para pelabur terlibat mendapatkan kembali hak mereka,” katanya di sini.
Kelmarin, 81 pelabur mempeolehi perintah sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi melarang syarikat peladangan kelapa sawit yang mereka membuat pelaburan mengadakan mesyuarat meminda pulangan setiap perjanjian pendapatan bersih dan menyusun semula pelan pelaburan dan membekukan aset syarikat.
Pelabur terbabit diketuai Tan Shoi Chew memfailkan tuntutan terhadap tiga syarikat dan empat individu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi meminta bantuan mahkamah untuk mendapatkan kembali pelaburan mereka berjumlah RM14 juta.
Mengikut afidavit yang difailkan oleh Shoi Chew, plantif tidak menerima apa-apa pulangan bersih tertentu setiap bulan selepas membuat pelaburan mengikut kumpulan berbeza, tetapi responden merancang mengadakan tiga mesyuarat pada 5 April Ini untuk meminda perjanjian dan menyusun semula pelaburan.
Saman ini difailkan oleh Tetuan Maniam K. Marrapan & Com bagi pihak Shoi Chew dan 81 pelabur yang lain.
Pada 15 Oktober 2023, YPNM mendakwa sebuah syarikat berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah didakwa menipu pelaburan membabitkan penanaman halia dan kelapa sawit yang nilainya dianggarkan berjumlah RM800 juta melibatkan lebih 8,000 orang pelabur dari seluruh negara.
Mohd. Firdaus dilaporkan sebagai mendakwa, selain perladangan, syarikat yang aktif sejak 2014 itu turut melaksanakan pelaburan bidang perindstrian menerusi beberapa skim ditawarkan.
YPNM menerima aduan pelabur yang melabur dengan syarikat itu dari seluruh negara membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia. Daripada maklumat di terima yayasan itu, seramai 8,000 orang melabur dengan syarikat ini membabitkan nilai pelaburan antara RM10,000 hingga RM850,000 seorang. – UTUSAN










