Pendaftaran automatik PADU ibarat curi, rompak maklumat rakyat - Gerakan

Pendaftaran automatik PADU ibarat curi, rompak maklumat rakyat – Gerakan

OH Tong Keong ketika sesi sidang akhbar mengenai sistem PADU di pejabat Gerakan di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa pendaftaran automatik melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak ubah seperti cuba ‘mencuri’ dan ‘merompak’ maklumat rakyat.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, dalam hal ini, terdapat dalam kalangan rakyat yang memilih untuk tidak mendaftar dalam sistem tersebut kerana mereka bimbang berlakunya kebocoran maklumat peribadi selain kurang yakin dengan keselamatan sistem berkenaan.

“Kini, dengan pelaksanaan pendaftaran automatik iaitu tanpa mendapatkan kebenaran daripada rakyat, bukankah ini satu tindakan seperti mencuri dan merompak maklumat rakyat?

“Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu sejak awal lagi bahawa pendaftaran automatik akan dilaksanakan untuk rakyat yang tidak mendaftar PADU selepas tarikh tamat pendaftaran pada 31 Mac (semalam?),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Gerakan, di sini hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan menjelaskan bahawa rakyat yang tidak mengemas kini data mereka di Hab Pangkalan Data Utama (Padu) akan didaftarkan secara automatik berdasarkan maklumat asas mereka.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memberitahu, hal ini demikian kerana, maklumat lebih lengkap diperlukan walaupun pelbagai agensi kerajaan telah mengumpul data asas rakyat Malaysia sebelum ini.

Dalam pada itu, Tong Keong mendakwa, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga tidak serius dalam menguruskan kerja-kerja pendaftaran PADU.

Malah, katanya, Rafizi dilihat seperti membazirkan sumber kerajaan termasuk dana awam dan masa kakitangan kerajaan serta rakyat.

“Adakah Rafizi dan Jabatan Perangkaan merasa bimbang sasaran 50 peratus pendaftaran tidak tercapai pada hari terakhir pendaftaran, maka, mereka tergesa-gesa mengambil langkah pendaftaran secara automatik supaya air muka mereka terjaga?

“Selain itu, apakah hak pihak kerajaan khususnya Jabatan Perangkaan untuk mengguna data daripada pelbagai agensi untuk membuat pendaftaran automatik?

“Ini kerana, pada awal tahun ini, Rafizi menyatakan bahawa Akta Omnibus dijangka digubal pada tahun ini bagi membenarkan perkongsian data dan penyimpanan awam dalam kalangan agensi kerajaan. Adakah akta ini telah dibentang dan diluluskan di Parlimen?” soal beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN