Kes rotan pelajar tidak solat tarawih di Rompin, polis tunggu siasatan lengkap - Utusan Malaysia

Kes rotan pelajar tidak solat tarawih di Rompin, polis tunggu siasatan lengkap

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis masih menunggu siasatan dan laporan lengkap berhubung kes seorang guru sebuah kolej vokasional di Rompin yang didakwa merotan pelajarnya kerana tidak solat tarawih sehingga mendatangkan kecederaan, Jumaat lalu.

Ia termasuk laporan perubatan mangsa yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan kes.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sehingga kini, tiga orang saksi sudah diambil keterangan mereka.

“Jadi, kini kita masih lagi menunggu keputusan (laporan rekod perubatan) dan hasil siasatan (lengkap) yang dijalankan.

“Kita klasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Kontinjen Pahang di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, setakat ini, hanya satu laporan diterima pihaknya berhubung kejadian tersebut.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar kolej vokasional di Rompin mendakwa cedera dipukul warden asrama kerana tidak menunaikan solat sunat tarawih.

Mangsa berusia 18 tahun dikatakan mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, punggung dan lengan kanan akibat dipukul sebanyak 10 kali oleh guru yang warden asrama kolej tersebut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, kelmarin.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada pukul 7.45 pagi di kawasan perhimpunan bahagian bawah asrama kolej tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN