DHAKA: Ibu negara Bangladesh, Dhaka melancarkan sistem penguatkuasaan trafik berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di bandar raya itu.
Isu saman serta-merta oleh pihak polis sebelum ini sering mencetuskan pertengkaran mulut antara pemandu dan penguatkuasa.
Insiden konfrontasi fizikal juga kerap berlaku, malah ada ketikanya anggota polis dirempuh oleh kenderaan yang enggan mematuhi arahan.
“Sejak sistem AI ini diperkenalkan, pemandu mula mematuhi undang-undang dan kami juga terselamat daripada pertengkaran harian,” jelas seorang pegawai polis, Sarjan SM Nazim Uddin.
Meskipun pelbagai usaha memodenkan pengurusan trafik telah dilakukan sebelum ini, kota yang dihuni lebih 22 juta penduduk itu masih bergantung kepada kawalan manual.
Namun, bermula April lalu, pihak polis Dhaka telah menggunakan kamera trafik dilengkapi perisian AI.
Sistem pintar ini direka khusus untuk mengesan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya secara automatik.
Seorang pemandu, Hannan Rahman Jibon, 28, menjadi antara individu terawal yang ditangkap oleh sistem pengawasan moden tersebut.
“Saya telah melanggar lampu isyarat merah. Pemilik kereta saya yang sedang duduk di rumah terus menerima mesej pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan kenderaan itu telah melanggar peraturan trafik,” kata Jibon yang dikenakan saman automatik sebanyak 2,000 taka (RM71).
Ekoran kejadian itu, beliau kini mengakui lebih berhati-hati memandangkan kamera digital telah dipasang di pelbagai sudut bandar. – AFP










