Kenaikan harga hartanah tingkatkan hutang isi rumah - Utusan Malaysia

Kenaikan harga hartanah tingkatkan hutang isi rumah

Kenaikan harga barang binaan menyebabkan kontraktor kelas G1 gagal siapkan projek Rumah Mampu Milik. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan, hutang isi rumah di negara ini akan terus meningkat didorong oleh kenaikan harga hartanah terutama kediaman.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) sebelum ini menjangkakan peningkatan harga hartanah baharu pada separuh pertama tahun ini disebabkan oleh kenaikan harga bahan binaan yang banyak.

Sementara itu, ejen hartanah pula melalui Tinjauan dan Indeks Harta IQI-Malaysia 2022 meramalkan harga dan sewa kediaman akan meningkat hampir 10 peratus pada tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berkata, paras hutang rumah akan terus meningkat mengambil kira faktor kenaikan harga rumah setiap tahun dan juga kos sara hidup yang sentiasa meningkat.

“Menurut BNM, penawaran masuk hartanah kediaman yang baru dilancarkan terus beralih ke arah sektor pasaran besar-besaran, dengan 44.3 peratus hartanah berharga RM300,000 atau kurang, meningkat daripada 38.4 peratus pada 2021 dan purata 35.2 peratus dari 2015 hingga 2019.

TERJUAL

“Bilangan unit rumah yang tidak terjual berkurangan tetapi kekal tinggi berbanding purata 151,683 unit, selepas mencapai kemuncak 183,918 unit pada suku keempat 2021, berbanding purata 2015 hingga 2019 seba­nyak 130,210 unit,” katanya.

Hutang isi rumah secara agregat berjumlah RM1.53 trilion setakat akhir tahun lepas, me­ningkat daripada RM1.45 trilion pada 2022.

Perdana Menteri yang jugaMenteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, pinjaman perumahan merupakan jenis pembiayaan terbesar dicatatkan dengan 60.5 peratus daripada hutang isi rumah.

Justeru, Ahmed Razman ber­kata, untuk mengatasi isu itu Malaysia perlu mereformasikan sistem monetari dan tidak harus mengambil mudah serta menganggap krisis ekonomi seperti hutang isi rumah akan berakhir.

Ini kerana, apabila isi rumah makin banyak hutang, ia akan merencatkan ekonomi negara kerana rakyat akan kurang berbelanja dan akan memberi kesan kepada daya saing negara sehingga menyebabkan ringgit kekal lemah.

“Usaha mereformasi sistem monetari negara harus diterus­kan untuk mengurangkan tahap keberhutangan kerajaan dan mewujudkan wang daulat dalam bentuk CBDC (Central Bank Digital Currency) yang ditambatkan kepada bakul komoditi-komoditi tertentu bagi memastikan kestabilan ringgit berbanding mata wang dunia.

“Sebagai contoh, pinjaman Qardhul Hassan untuk pinjaman peribadi, Musharakah dan Mutanakisah untuk pinjaman rumah dan pelan berasaskan langganan untuk kenderaan,” katanya.

Transaksi pasaran hartanah negara mencecah RM196.83 bi­lion pada 2023, peningkatan 9.9 peratus daripada RM179.07 bi­lion tahun sebelumnya, menurut rekod Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

Bilangan transaksi harta ta­nah juga mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 2.5 peratus kepada 399,008 pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN