Hutang isi rumah: Perlu tingkat kesedaran rakyat - Utusan Malaysia

Hutang isi rumah: Perlu tingkat kesedaran rakyat

Statistik menunjukkan isi rumah menjadi sektor tertinggi NPL melibatkan pembiayaan perumahan, kenderaan dan kad kredit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi berharap kerajaan dapat meningkatkan kesedaran berkenaan dalam meningkatkan literasi kewangan kepada rakyat Malaysia.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, hall ini bagi memberi suatu kawalan kendiri yang dapat membendung tahap keberhutangan rakyat Malaysia.

“Justeru, kesedaran adalah perkara yang amat perlu dititikberatkan.

“Mereka perlu mewujudkan beberapa kempen kesedaran yang meluas mengenai kewangan agar rakyat dapat pendidikan dalam kewangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kadar hutang isi rumah di negara ini, secara agregatnya berjumlah RM1.53 trilion pada akhir 2023.

Menteri Kewangan berkata, secara agregatnya kadar itu menunjukkan trend peningkatan saban tahun sejak 2018.

Bagi tempoh 2018 hingga 2023, beliau berkata, bahawa purata pertumbuhan tahunan hutang isi rumah adalah 5.1 peratus.

Jelas Anwar, pertumbuhan hutang isi rumah tahunan ini didorong terutama pinjaman perumahan dan kenderaan susulan daripada pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh kerajaan serta swasta.

Tambah beliau, peningkatan hutang itu juga didorong insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan bermotor antara 2020 dan 2022.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, masyarakat perlu dididik dengan ilmu pengurusan kewangan dan kredit bermula sejak dibangku sekolah rendah dan menengah.

“Ini bagi melahirkan generasi yang celik ilmu pengurusan harta dan kewangan serta mengelak mereka melakukan hutang dan pinjaman yang tidak mampu diurus dan akhirnya menjerat kualiti hidup mereka.

“Selain itu institusi perbankan perlu bersifat telus dan tegas dalam memberi kelulusan pembiayaan kepada pelanggan mereka dengan melihat risiko hutang oleh bakal peminjam termasuk semakan pendapatan dan dokumen sokongan khususnya pembiayaan perumahan yang menyumbang sebanyak 60.5 peratus daripada hutang isi rumah bagi tahun 2023,” katanya.

Jelas beliau lagi, berkemungkinan peratusan Debt Service Ratio (nisbah khidmat hutang) yang dijadikan kayu ukur bagi menilai komitmen bayaran hutang seseorang pelanggan oleh pihak bank perlu disemak semula.

“Hal ini supaya peminjam ini benar-benar mampu membayar pembiayaan mereka kepada pihak bank seperti menetapkan DSR sekitar 55 hingga 65 peratus sahaja berbanding sekarang ini mungkin antara 60 hingga 70 peratus bergantung kepada jenis bank,” katanya.

Mohd. Faisol berkata, iinstitusi perbankan disaran agar dapat memperkenal kembali kaedah pembiayaan dan pinjaman yang mempunyai “grace period” ataupun mengurangkan sedikit kadar keuntungan pihak bank kepada pelanggan.

“Selain itu budaya ‘biar papa asal bergaya’ di kalangan masyarakat perlu dijumudkan oleh agensi berkaitan melalui hebahan maklumat di media sosial tentang kesan buruk jika mengamalkan konsep tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN