Kemarau: Papar diisytihar daerah bencana di Sabah

Kemarau: Papar diisytihar daerah bencana di Sabah

PENDUDUK kampung terpaksa bergantung kepada lori tangki sejak penutupan LRA Limbahau bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Masalah bekalan air yang teruk sejak awal bulan lalu menyebabkan Papar diisytihar sebagai daerah bencana kemarau.

Pengisytiharan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar melalui laman media sosial semalam dan turut disahkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku Sekretariat JPBD.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali ketika dihubungi memaklumkan, pengisytiharan itu amat wajar susulan masalah gangguan bekalan air yang sedang berlaku.

“Sesiapa yang mahu pertikai pengisytiharan itu, sila datang Papar bantu kami angkut air untuk rakyat,” katanya.

Sejak bulan lalu, lebih 50,000 penduduk di daerah ini terkesan akibat penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau yang berhadapan dengan kemasukan air masin (air laut) ke kawasan muka sauk (intake).

Dalam lawatan Timbalan Ke­tua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya pada 7 Mac lalu, beliau menyatakan, kemarau yang berpanjangan menyebabkan air laut masuk ke kawasan muka sauk hingga menyebabkan tahap kemasinan air melebihi tahap maksimum dibenarkan iaitu mencecah 2,800 mg per liter.

Penutupan loji itu sejak 17 Februari lalu menyebabkan 52,000 penduduk yang me­ne­rima bekalan air dari LRA Limbahau berhadapan gangguan bekalan. Penutupan loji itu meng­akibatkan kapasiti bekalan berkurang kepada 53 juta liter sehari (MLD) berbanding 63 MLD pada kebiasannya.

Sementara itu, pembakaran terbuka yang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencecah hampir 1,000 kes sepanjang Ja­nuari hingga semalam.

Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda berkata, setakat ini, dua daerah mencatatkan kes pembakaran terbuka melebihi 200 dan 100 kes iaitu daerah Tuaran dan Kota Belud.

“Kes pembakaran terbuka yang direkodkan di Tuaran adalah 207 kes dan Kota Belud pula merekodkan 136 kes.

“Kebakaran ini melibatkan kawasan belukar, lalang, hutan, kebun, ladang serta paya gambut,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya tiga JBPM tidak merekodkan kebakaran di kawasan terbuka iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Kota Kinabatangan dan Beluran.

Semalam, sebanyak 40 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh Sabah membabitkan Kawasan seluas 235.5 ekar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN