Kedudukan tertinggi Agong dalam PDRM adalah berperlembagaan

Kedudukan tertinggi Agong dalam PDRM adalah berperlembagaan

DATUK Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cadangan meletakkan kedudukan tertinggi Yang di-Pertuan Agong dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan satu perkara baharu, malah selaras dengan Perkara 39 dan Perkara 32 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan Seri Paduka Baginda dipelihara dalam Perkara 181 dan lain-lain peruntukan Perlembagaan, di samping undang-undang antarabangsa turut mengiktiraf imuniti ketua negara berdaulat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan dari ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kesemua peruntukan itu mengabsahkan kuasa kedaulatan Seri Paduka Baginda dan pemakaian yang bersesuaian dengan kedudukan itu dari sudut istiadat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, dalam premis yang sama dari aspek bidang tugas PDRM, kuasa untuk mengisytiharkan darurat adalah prerogatif baginda yang turut menyentuh keselamatan, dan ketenteraman awam di samping kehidupan ekonomi.

“Agong adalah Raja Pemerintah Persekutuan mewakili kedaulatan Raja-Raja Melayu, dengan kedudukan itu baginda adalah pihak berkuasa eksekutif utama dalam Persekutuan.

“Maka tidak timbul ada pemisahan kedudukan baginda dengan kuasa eksekutif. Jemaah menteri melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Agong. Kenyataan bahawa kedudukan Agong hanya simbolik adalah tidak benar sama sekali,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung kebimbangan kedudukan Seri Paduka Baginda yang akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan pasukan keselamatan itu pada masa hadapan jika cadangan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM dilaksanakan.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Polis 1967 dibentang di Dewan Rakyat melibatkan perubahan 10 fasal antaranya membolehkan Yang di-Pertuan Agong menjadi Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM.

Ia melibatkan pindaan terhadap fasal 2 akta berkenaan dengan seksyen baru 6A dimasukkan bagi tujuan terbabit.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, Perlembagaan ialah apa yang raja-raja Melayu berikan untuk pembentukan Persekutuan yang kuat, dan Agong adalah Pemerintah Persekutuan diciptakan oleh Perlembagaan mengikut kuasa kedaulatan raja-raja Melayu untuk memerintah Persekutuan.

Katanya, Baginda adalah sumber kuasa Persekutuan yang menurunkan fungsi kuasa baginda tersyarat dengan peruntukan Perlembagaan kepada tiga cabang kuasa, iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman di Persekutuan.

“Perlembagaan menetapkan ada kuasa yang dilaksanakan sendiri oleh baginda, dan ada fungsi kuasa baginda dilaksanakan oleh jemaah menteri dan kehakiman.

“Begitu juga kedudukan dalam badan perundangan yang menetapkan dua majlis iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai syura kepada Agong,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kuasa perkenan undang-undang kekal pada Agong dan tidak pernah terlucut walaupun secara administratif mengikut Perkara 66, rang undang-undang yang dipersembahkan kepada baginda akan menjadi undang-undang apabila luput tempoh masa 30 hari.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak bermakna Tuanku hilang kuasa memperkenankan undang-undang.

“Jika konsep tersebut difahami maka tiada sebab pemakaian Agong sebagai pemerintah tertinggi PDRM tidak wajar diadakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini