KEB platform terbaik audit pencapain ekonomi bumiputera - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

KEB platform terbaik audit pencapain ekonomi bumiputera – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dilihat sebagai platform terbaik dalam usaha membuat ratifikasi atau audit pencapaian ekonomi bumiputera selama enam dekad.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, menerusi kongres berkenaan, bukan sahaja ukuran pencapaian ekonomi bumiputera akan dapat dilihat malah mencari jalan penyelesaian tuntas ke arah kecemerlangan pada masa depan.

Menurutnya, dengan segala cabaran dan pelbagai gelombang ekonomi yang mendatang, sudah pasti langkah untuk berdepan perkara-perkara sedemikian memerlukan tindakan sewajarnya.

“Inilah yang sepatutnya dan sewajarnya setelah enam dekad kerajaan boleh menyelami dan melihat secara mendalam bagaimana pencapaian ekonomi bumiputera sehingga hari ini.

“Jalan penyelesaian mesti ada…langkah untuk mencari segala kesimpulan sudah pasti akan terbit dan terasnya atau paksinya tidak dapat lari daripada memperkatakan soal kestabilan kerana ia punca kepada segala-galanya,” katanya di sini.

Mohd. Sharkar seterusnya menambah dalam apa jua keadaan dan situasi, kestabilan perlu wujud malah itulah yang bakal menggerakkan segala-galanya dalam apa jua pelaksanaan serta langkah diambil kelak.

“Apa pun perlu ada kestabilan…peluang serta penyelesaian kepada bumiputera kerana bumiputera adalah kaum teras di negara ini. Kita boleh tengok hari ini apabila bumiputera tidak sekata, negara tidak menentu apabila politik tidak stabil,” ujarnya.

Menurutnya, ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggariskan enam tekad dan tiga ikhtiar bagi mencapai Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) menggambarkan keseriusan kerajaan dalam memastikan ekonomi bumiputera terus cemerlang.

“Apa yang diungkapkan Ahmad Zahid antara lain mempertahankan agenda bumiputera, menutup ketirisan pelaksanaan dasar dan inisiatif agenda bumiputera serta mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok.

“Selain itu, turut digariskan mengenal pasti peluang dan perkembangan ekonomi baharu masa hadapan, mewujudkan jalinan tulen ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera serta menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain adalah antara yang perlu kita sama-sama jayakan,” ujarnya

KEB yang bermula semalam dirasmikan oleh Ahmad Zahid dengan menggariskan enam tekad dan tiga ikhtiar bagi mencapai TEB.

Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, KEB 2024 berlangsung selama tiga hari itu merupakan anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×