KUALA LUMPUR: Kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani jenayah siber dan penyalahgunaan bahan seperti dadah memasuki fasa yang mencabar pihak berkuasa negara ini.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cabaran tersebut bukan hanya dialami Malaysia tetapi sudah menjadi fenomena global.
Oleh itu, menurut beliau, PDRM dan pasukan keselamatan lain di negara ini tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada pengalaman, keupayaan dan pengetahuan semata-mata kerana semua itu belum memadai untuk mendepani jenayah yang semakin kompleks.
“Memang ada berlaku serangan siber namun perkara itu berada dalam radar pengesanan pihak berkuasa dan kita sedar ia berlaku dengan kerap.
“Kita dalam keupayaan mengesan pencerobohan siber termasuk laman strategik kerajaan tetapi cabarannya adalah bagaimana mahu tanganinya, itu sebenarnya dalam usaha untuk dibincang di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN)” katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam Majlis Sesi Dialog Khas 2024 PDRM di Maktab PDRM di sini hari ini. Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
DIALOG
Dalam perkembangan sama, kata Saifuddin, menerusi program sesi dialog yang disertai wakil dari 45 negara itu akan memberi fokus kepada jenayah siber dan penyalahgunaan bahan serta perkongsian maklumat di peringkat antarabangsa.
“PDRM ambil inisiatif anjur dialog ini yang mana diwakili oleh delegasi yang datang dengan pengalaman dan kemahiran berbeza sekali gus membolehkan perkongsian maklumat, kepakaran dan pengetahuan khusus untuk menangani dua permasalahan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Razarudin berkata, aktiviti berkaitan jenayah siber dan penyalahgunaan bahan seperti dadah harus diberi perhatian serius dalam mengatasi masalah berkenaan pada masa akan datang.
“Kita perlu tahu dan lihat dalam masa lima hingga 10 tahun lagi apakah bentuk dan taktik jenayah siber dan penyalahgunaan bahan ini dan kita perlu faham dari sekarang.
“Sekiranya kita tidak mengambil dan melakukan apa-apa langkah pencegahan dari sekarang kita akan ketinggalan,” jelasnya.
Kata beliau, PDRM kini ke arah untuk mengurangkan dan mengatasi masalah jenayah penyalahgunaan bahan narkotik dan jenayah siber.
“Kita perlu wujudkan satu entiti seperti gabungan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam konteks keselamatan yang akan berkolaborasi di bawah MKN.
“Ini ditambah dengan kepakaran, kemahiran dan pengalaman dimiliki oleh gabungan entiti dapat mempertingkatkan daya kita dalam menangani jenayah berkaitan,”katanya.- UTUSAN











