Jejambat persimpangan Bukit Setongkol dijangka dibuka sebelum Aidilfitri - Utusan Malaysia

Jejambat persimpangan Bukit Setongkol dijangka dibuka sebelum Aidilfitri

RAZALI Kassim (kanan) ketika meninjau jejambat persimpangan Bukit Setongkol yang dijangka dibuka sebelum Aidilfitri ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jejambat dari Persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di sini dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Ir. Razali Kassim berkata, laluan tersebut dijangka mengurangkan kesesakan aliran trafik di Jalan Persekutuan FT002.

Katanya, pembukaan jejambat itu juga turut akan memendekkan perjalanan pengguna di sekitar Bukit Setongkol, Cenderawasih, Indera Mahkota ke seberang Tanjung Lumpur, Sungai Soi dan kawasan berhampiran.

“Kita dari pihak kerajaan negeri maklum berkenaan pembukaan jejambat ini dan hari ini saya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) turun ke tapak untuk melihat kesediaannya.

“Alhamdulillah, saya tengok semuanya sudah sedia untuk dibuka cuma melalui proses di mana kelulusan untuk buka jalan adalah daripada Kementerian Kerja Raya.

“Saya pun dah minta pihak JKR membantu untuk usahakan buka jejambat ini dalam masa terdekat, kalau boleh sebelum raya (Aidilfitri),” katanya selepas lawatan kerja ke jejambat berkenaan hari ini.

Pengurus Besar Pembinaan Unit Projek Khas Zon Timur 2 Cawangan Jalan JKR, Shahriman Daud berkata, keputusan kebenaran akan diberikan agensi pemilik.

“Projek ini bermula pada 15 Jun 2020 dan selepas mengharungi beberapa kekangan terutama ketika pandemik Covid-19, ia berjaya disiapkan dan diserahkan pada 22 Mac lalu.

“Pembukaannya nanti dapat mengurangkan kesesakan trafik di Bandar Kuantan, memendekkan jarak sepanjang sembilan kilometer dan menjimatkan masa perjalanan sekitar 15 hingga 30 minit dari arah Bandar Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya serta dari arah Gambang ke kawasan Tanjung Lumpur,” katanya.

Sebelum ini kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM47 Juta bagi projek jejambat ikonik Kemunting-Bukit Setongkol bypass ini yang bakal memendekkan perjalanan dari Indera Mahkota ke Tanjung Lumpur melalui Jambatan Kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN