JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal yang mempunyai enam orang anak dijatuhi hukuman enam tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan memiliki dadah methamphetamine seberat 71.87 gram pada 2021.
Hukuman terhadap Suhana Ismail, 43, dibuat Hakim, Datuk Abu Bakar Katar selepas wanita berkenaan mengaku bersalah terhadap petuduhan pindaan, iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 71.87 gram di Jalan Bunga Melor, Kampung Desa Jaya ketika ditahan polis peronda pada pukul 11 malam, 4 April 2021.
Dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, G.K. Sritharan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada tertuduh yang turut merupakan penghidap HIV.
“Tertuduh mempunyai enam orang anak yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun, dengan kesemuanya masih bersekolah. Ini juga merupakan kesalahan pertamanya.
“Dia bekerja sebagai penjual kuih dengan pendapatan RM800 sebulan, membesarkan enam orang anak tanpa bantuan daripada bekas suaminya,” katanya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azlan Bohari, manakala tertuduh diwakili Sritharan dan Tan Ming Khong. – UTUSAN










