GEORGE TOWN: Ibarat hidup segan, mati tidak mahu. Begitulah yang sedang berlaku kepada pengangkutan beca di negeri ini selepas lapan dekad menabur bakti.
Beca mula popular selepas menggantikan perkhidmatan lanca, kereta kuda dan kereta lembu. Sejak itu beca kekal menjadi pengangkutan utama untuk semua orang termasuk imigran.
Namun, memasuki awal tahun 1980-an kepopularan beca di Pulau Mutiara goyah apabila semua penduduk mula memilih pengangkutan lebih cepat lagi efisien seperti bas, teksi, kereta sapu dan paling popular Grab.
Revolusi tersebut terus menghakis peranan beca yang selama ini menjadi nadi pengangkutan di Pulau Pinang.
Perkhidmatan beca kemudian bertukar menjadi ‘eksklusif’ dan akhirnya hanya dianggap sebagai tarikan untuk sektor pelancongan semata-mata.
Di Pulau Pinang ketika ini, terdapat hampir 200 pengayuh beca yang berdaftar khususnya di sekitar George Town dan Batu Feringghi. Bagaimanapun, daripada jumlah itu, bilangan mereka yang aktif dikatakan hanya boleh dikira dengan jari.
‘Hidup segan, mati tak mahu.’ Mungkin itu perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan industri beca terutamanya selepas dunia mengharungi pandemik Covid-19, empat tahun alu.
Ketika pandemik industri beca ‘lumpuh terus’ apabila tidak ada pihak yang sudi menggunakan perkhidmatan tersebut meskipun untuk bersiar-siar.
KELUHAN
Keluhan demi keluhan oleh pengayuh beca yang kehilangan sumber pendapatan terus mewarnai kesuraman industri berkenaan sehingga hari ini.

Justeru, timbul persoalan ketika itu, masih relevankah industri beca khususnya di Pulau Pinang?
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NG0), Urban Live Volunteers (ULV) pernah menyelar kerajaan negeri kerana didakwa tidak menghargai sumbangan pengayuh beca dalam industri pelancongan negeri selama ini.
Dakwa NGO tersebut, kerajaan negeri enggan melayan permintaan penarik beca yang mahu mengadakan kolaborasi bagi menarik lebih ramai pelancong seperti apa yang dilakukan pengayuh beca di Melaka.
Di Melaka, rata-rata pengayuh beca ‘ditunjangi’ oleh anak-anak muda yang bertenaga manakala di Pulau Pinang pengacuh beca dalam kalangan warga emas.
Pun demikian, tidak dinafikan ada inisiatif yang diambil oleh anak-anak muda di Pulau Pinang seperti Beca Tiga Beradik untuk mempopularkan semula industri berkenaan.
Bantuan atau sokongan sama ada daripada kerajaan negeri, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NG0), orang perseorangan dan sebagainya masih perlu bagi memastikan pengangkutan yang sebelum ini pernah menjadi kebanggaan warga Pulau Pinang untuk terus kekal relevan sepanjang zaman.
Pada masa sama, pemain-pemain industri itu sendiri perlu berubah dan keluar daripada ‘kepompong yang selesa’ demi survival perkhidmatan beca pada masa depan.
CAJ BECA
Menyelami padangan pelancong dari Johor, Hasliza Hasan, 42, berkata, dia teringin untuk membawa anak-anaknya naik beca mengelilingi George Town.

Bagaimanpun, luahnya, dia kurang yakin dengan perkhidmatan beca kerana yang mungkin mengambil kesempatan dengan mengenakan caj ‘tidak masuk akal’.
“Saya tahu bukan semua, tapi memang ada sesetengah pengayuh beca itu suka mengambil kesempatan terhadap pelancong.
“Sebab itulah kami lebih suka berjalan kaki untuk pergi dari satu tempat ke tempat yang lain. Biar penat sikit asalkan puas hati,” kata pengusaha restoran yang mempunyai tiga anak.
Berbeza dengan seorang pelancong dari Singapura, Micheal Lee, 46, yang berpendapat, perkhidmatan beca di Pulau Pinang ada keunikannya tersendiri jika dibandingkan dengan tempat lain.
“Saya pernah menaiki beca di Terengganu dan Melaka sebelum ini. Namun, suasana di sini (Pulau Pinang) jauh berbeza berbanding di negeri lain.
“Jika perlu penambahbaikan pun bagi saya, mungkin dari segi sistem pengangkutan itu sendiri kerana apa yang saya lihat, di Pulau Pinang ini ada (pengayuh beca) yang mencari pelanggan sendirian dan ada yang bergantung kepada kumpulan.
“Lagi satu, mungkin mereka (pengayuh beca) perlu menitikberatkan soal kekemasan serta layanan mesra kepada pelancong. Itu juga antara tarikan untuk pelancong terus menggunakan khidmat beca,” katanya yang gemar menghabiskan masa di Pulau Pinang ketika musim cuti sekolah.
Difahamkan, pelancong dari Taiwan dan Korea Selatan antara kumpulan pelancong asing yang paling gemar menggunakan perkhidmatan beca di Pulau Pinang.
HARAPAN PENGAYUH BECA
Sementara itu, seorang pengayuh beca yang mahu dikenali sebagai Pak Awang, 77, berkata, dia meneruskan kudratnya bagi menerus kerja tradisinya dan menyedari dia tidak lagi segagah dahulu.

di hadapan Masjid Kapitan Keling, George Town.– MINGGUAN/IQBAL HAMDAN
Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia akan terus mengayuh selagi terdaya kerana pekerjaan tersebut seperti sudah sebati dengan jiwanya sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.
“Dulu, masa muda-muda, saya boleh bawa beca sampai tiga atau empat pusingan sehari. Cakap sahaja nak pi (pergi) mana, insyaAllah saya boleh tunaikan.
“Satu jam ‘trip’ (perjalanan) masa itu pun boleh dapat sampai RM50. Kalau lebih, kira sendirilah. Itu belum dikira tips.
“Tapi, sekarang kalau boleh dapat RM20 atau RM30 sehari pun Alhamdulillah. Lepas untuk beli barang keperluan harian pun cukuplah,” ceritanya.
Kata Pak Awang, walaupun dia bukan anak jati Pulau Pinang kerana dilahirkan di Perak, namun, rasa kasih dan sayangnya terhadap negeri ini menebal.“Beca yang saya guna ini saya beli dengan titik peluh saya sendiri. Jadi, saya tidak perlu risau sangat jika tak ada pelancong atau pelanggan yang naik (beca) kerana saya tak perlu bayar sewa,” kata lelaki itu yang kini agak terbatas pergerakannya disebabkan menghidap masalah jantung.
Pengayuh muda yang mahu dikenali sebagai Azam, 30, berkata, dia mewarisi pekerjaan tersebut daripada bapanya yang kini uzur dan hanya berehat di rumah.
“Saya memilih untuk menjadi pengayuh beca ini bukan sebab tidak ada kerja lain, tapi, saya gembira kerana dapat berbakti kepada negeri saya.
“Setakat ini, Alhamdulillah, boleh katakan setiap kali hujung minggu pasti ada tempahan terutama musim cuti sekolah ini. Mungkin saya antara yang bernasib baik kerana beca selalu ditempah oleh pelancong yang turun dari kapal persiaran.
“Selalunya kalau bernasib baik, mereka (pelancong) akan bayar terus dalam dolar (Amerika Syarikat),” katanya yang berharap industri beca di Pulau Pinang akan terus maju dan bukan pupus.
LONJAKAN INDUSTRI BECA
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong perkembangan industri beca di Pulau Pinang meskipun milikan beca secara umumnya kini di bawah kendalian pihak swasta.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan melihat kaedah terbaik untuk membantu mengekalkan serta menambah baik industri tersebut pada masa hadapan.
“Untuk pengetahuan, kerajaan negeri telah menerima beberapa cadangan untuk mentransformasikan perkhidmatan beca ini kepada e-beca.
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa lain dan perlu dikaji kebolehlaksanaannya terlebih dahulu,” katanya.
Kata Hon Wai, potensi industri beca untuk terus berkembang sebenarnya agak besar.
Katanya, ini susulan hampir setiap minggu ada kapal besar yang tiba di Pelabuhan Swettenham Pier dengan ribuan pelancong yang turun dari kapal berkenaan yang mahu merasai keunikan naik beca.
“Selain itu, perkhidmatan beca sebenarnya masih menjadi tumpuan di Bandar Warisan George Town ketika ini sekali gus berupaya menjadi tarikan kekal kepada pelancong-pelancong,” ujar beliau.
Katanya, industri beca dilihat semakin suram terutamanya semasa pandemik Covid-19 sehingga rata-rata pengayuh mengeluh kerana hilang punca pendapatan.
Bagaimanapun, menurut beliau, pasca Covid-19 menyaksikan industri yang pernah menjadi kebanggaan warga Pulau Mutiara itu kembali bernafas dengan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan lain-lain. – UTUSAN







