GEORGE TOWN: Industri beca perlu berubah untuk kekal relevan sama ada sebagai pengangkutan bagi tujuan riadah, pelancongan dan sebagainya.
Itu pendapat Naib Presiden Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT), Khoo Salma Nasution ketika ditanya mengenai masa depan beca sebagai pengangkutan warisan di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Khoo Salma yang juga aktivis dan sejarawan tempatan berkata, dalam hal ini, pusat inovasi di institut pengajian tinggi (IPT) seperti di Universiti Sains Malaysia (USM) mungkin boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan.
“Mereka (pusat inovasi) mungkin boleh membantu dalam menginovasikan beca menjadi e-beca, namun, masih mengekalkan karakter khas iaitu bercirikan Pulau Pinang (untuk kekal relevan),” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, jika tiada usaha ke arah itu tidak dapat dijangka berapa lama industri tersebut boleh bertahan.
Dalam pada itu, seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khairul Amri Mohiaddin, 19, berkata, dia lebih suka bekerja sebagai penghantar makanan untuk syarikat p-hailing seperti Foodpanda atau Grabfood berbanding menjadi pengayuh beca yang lebih memenatkan.
MAKANAN
“Kerja hantar makanan ini ikut kerajinan kita. Lagi banyak kita ambil ‘job’ (pesanan), lagi banyak pendapatan kita dapat.
“Jadi pengayuh beca pula bagi saya lebih kepada pekerjaan ‘bermusim’ dan memenatkan. Kalau ada tempahan atau kebetulan waktu itu musim cuti sekolah, adalah pendapatan yang menanti. Jika tidak, bergantung kepada nasib.
“Tapi, apapun, saya tak berhasrat untuk jadikan kerja dengan Foodpanda atau Grabfood ini sebagai kerjaya tetap saya. Ini hanya kerja sementara sebelum saya dapat pekerjaan tetap,” kata anak kelahiran Balik Pulau itu.
Bagi Azrul Majidi, 25, dia hanya menjadikan pekerjaan sebagai pengayuh beca sebagai sumber untuk mendapatkan pendapatan sampingan sahaja kerana beca yang ada ini adalah peninggalan arwah bapanya sejak dua tahun lepas.
“Daripada saya biarkan beca itu jadi besi buruk, baik saya baiki apa yang patut sebab rangka beca itu pun masih elok.
“Untuk pengetahuan, saya hanya mengayuh beca pada hujung minggu atau jika ada kelapangan kerana saya sibuk dengan perniagaan harian iaitu menjual makanan di sekitar Batu Feringghi,” kata bapa kepada seorang anak itu. – UTUSAN










