REMBAU: Sepasang suami isteri di Kampung Batu di sini, menjadikan perniagaan menjual burger secara kecil-kecilan sebagai punca pendapatan untuk menyara keluarga
Artiq Shukri Bakar, 34, berkata, perniagaan itu dimulakan sejak Jun tahun lalu. Namun, asam garam berniaga, ada waktu ia mendapat sambutan dan ada juga sebaliknya.
Dia yang berasal dari Tanjung Bidara, Melaka, memberitahu, kadangkala dia hanya mendapat sekitar RM20 sehari, dan pernah mencecah RM330 hasil infak seorang individu untuk masjid berdekatan.
“Kami sudah lama berniaga burger dengan harga serendah RM2, selain menjadi pengawal keselamatan. Dulu kami berniaga di Pantai Puteri, Melaka tetapi disebabkan motosikal kami disita atas sebab tertentu, kami tidak dapat berniaga.
“Pada 2018, nasib tidak menyebelahi kami dan menjadi gelandangan selama lima hari di Melaka. Majlis Agama Islam Melaka (Maim) kemudiannya menyelamatkan kami dan menempatkan kami di rumah di bawah agensi itu.
“Sejak ibu mentua saya sakit, kami duduk di rumah pusaka di sini sejak 2022 dan mula berniaga burger, oblong dan roti john sejak tahun lalu bagi menampung hidup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Batu di sini, semalam.
Isterinya, Ain Nazira Abdullah, 27, pula berkata, tiada apa yang diinginkan selain perniagaan tersebut dapat menarik lebih ramai lagi pelanggan buat pendapatan mereka sekeluarga.
Menurutnya, mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatan berniaga tersebut kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap lain.
“Kami ada tiga orang anak. Anak kedua kami serahkan kepada keluarga lain untuk dijaga memandangkan pada waktu itu kami berhadapan kengkangan kewangan yang besar.
“Kini, ibu saya, Nor Aini Ambia, 70, tidak sihat dan menggunakan mesin oksigen. Mujur ada pihak yang membantu mendapatkan bantuan mesin yang bernilai ribuan ringgit ini.
“NGO juga ada membantu jika kami putus wang membeli barangan asas seperti susu, lampin pakai buang dan ubat-ubatan. Ada juga kami pergi ke Baitulmal dan mendapat bantuan kupon makanan asas,” katanya.
Mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkannya menerusi akaun bank Maybank bernombor 1540 8028 2758 atas nama Ain Nazira Abdullah. – UTUSAN











