PETALING JAYA: Cadangan menghapuskan skim pencen bagi penjawat awam baharu disifatkan berlawanan dengan slogan ‘Madani’.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, slogan Madani dibuat tanpa pengetahuan iaitu ibarat burung ‘kakak tua’ dan burung tiung yang boleh bercakap tetapi tanpa akal.
Menurut beliau, sepatutnya perkhidmatan seorang penjawat awam dinilai dari segi jasanya dan bukan dari aspek penilaian kewangan sahaja kerana perkhidmatan mereka kepada negara serta masyarakat tidak boleh dipandang remeh mahupun dinilai dengan aspek perbelanjaan sahaja.
“Ia berkait dengan amal soleh, jasa dan budi yang tidak dapat diletakkan dengan harga bayaran duit terhadap jasanya kepada agama, rakyat dan negara. Walaupun seseorang penjawat awam itu telah dibayar gajinya semasa tempoh berkhidmat, tetapi kesan jasanya adalah berterusan kepada masyarakat umum yang perlu dikenang dan dinilai,” kata beliau dalam catatan minda Presiden Pas.
Oleh itu, kata Hadi, cadangan untuk menghapuskan pencen bagi penjawat awam baharu merupakan tindakan yang berlawanan dengan teladan Rasulullah SAW ketika baginda memerintah negara Madinah sehingga menjadi satu model masyarakat Madani yang sebenar dan menjadi jenama dalam ilmu sosiologi.
Terdahulu, media melaporkan, lantikan penjawat awam bermula 1 Februari lalu dilakukan secara kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu yang dijangka dapat melandaikan tanggungan fisikal negara diperkenalkan oleh kerajaan pada masa akan datang.- UTUSAN










