SEREMBAN: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson dan Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, masing-masing atas pertuduhan menyamar sebagai polis serta melakukan rompak berkumpulan di Taman PD Utama di Port Dickson, minggu lalu.
Di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, tertuduh, Halip Khalil, 53 dan Hamymurizal Mohamad, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas telah melakukan rompakan berkumpulan dengan merompak komputer riba, iPad, dan dua telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 30 tahun.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di kawasan Taman PD Utama, Port Dickson, 22 Mac lalu.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Kalaivaanan, manakala Halip diwakili peguam, Wirdayati Shafudi dan Hamymurizal diwakili peguam, Mendeep Singh.
Kalaivaanan kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,500 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu pengadu.
Kes bakal disebut semula pada 6 Mei depan.
Terdahulu, di Mahkamah Majistret Port Dickson, kedua-duanya berpura-pura memegang jawatan sebagai penjawat awam dan berkelakuan seperti itu dengan mengaku sebagai pegawai polis kepada mangsa yang sama.
Bagi kesalahan yang dilakukan pada masa, tarikh dan lokasi yang sama, kedua-duanya telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 170 kanun keseksaan dan di baca bersama-sama seksyen 34 kanun yang sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal manakala, tertuduh diwakili peguam yang sama.
Majistret, Uthman Abd Ghani kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap tertuduh.-UTUSAN.










