Darah haid mengalir ke belakang punca endometriosis?

Darah haid mengalir ke belakang apa puncanya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali menjelang Ramadan, kesakitan semasa haid akibat menghidap endometriosis masih dapat dirasai Siti NurulHafizah Alias, 44. 

Malah kesakitan yang dialami iaitu senggugut teruk sudah mula dirasai sebelum kedatangan haid lagi. Ia akan berterusan sepanjang haid dan sehingga selepas haid habis.  

Katanya, kesakitan dialami bermula seminggu sebelum haid dengan rasa tidak selesa di bahagian bawah perut dan pinggang serta berterusan selepas haid tamat. 

“Sebelum mendapatkan rawatan dulu, endometriosis ini sangat mengganggu kehidupan harian saya. Kesakitan itu menyebabkan saya tidak dapat berpuasa selama 15 hingga 20 hari.  

“Saya mula rasa tak selesa masa umur 14 tahun ketika belum didatangi haid tetapi tidak tahu puncanya. Saya pernah ke klinik beberapa kali tapi cuma dimaklumkan mengalami gastrik,” katanya kepada Utusan Malaysia.  

NurulHafizah didatangi haid pada usia 15 tahun. Dia bertahan dengan senggugut yang teruk itu selama beberapa tahun dengan hanya makan ubat tahan sakit.  

Memasuki usia 18 tahun, beliau dirujuk ke pakar ginekologi (sakit puan) selepas mengalami senggugut yang teruk. 

Selepas menjalani ujian darah dan imbasan, doktor mengesahkannya menghidap endometriosis tetapi tidak dimaklumkan tahap berapa.  

“Selepas mendirikan rumah tangga pada usia 24 tahun, saya menjalani ujian ultrasound transvaginalscan. Masa itu, memang jelas kelihatan ada endometriosis dan cyst di ovari saya. 

“Masa usia 28 tahun, saya menjalani pembedahan laparatomi untuk membuang cyst ovari bersaiz 10.5 x 10.5 sentimeter (cm). Selepas berkahwin, endometriosis menyebabkan rasa sakit bila bersama suami,” katanya.  

Ketika dibedah, doktor mendapati endometriosisnya merebak ke usus, pundi kencing dan organ sekitarnya. 

Doktor sahkan endometriosisnya sudah mencapai tahap empat. Wanita asal Kota Bharu, Kelantan ini, pernah menjalani pembedahan sebanyak dua kali laparotomi dan sekali laparoskopi.  

Beliau turut menjalani terapi hormon untuk kesuburan bagi mendapatkan zuriat kerana bila ada endometriosis memang sukar untuk hamil. 

“Saya makan dan cucuk ubat untuk pra menopouse.  Ini kerana selagi seseorang itu ada haid, selagi itu dia akan merasa sakit kesan dari endometriosis,” katanya.  

Kata ibu tiga anak itu, selepas melahirkan anak pertama, doktor memberinya ubat dan hormon bagi mengurangkan haid.  

Bagaimanapun ubat berkenaan memberikan kesan sampingan yang teruk seperti rasa kering, panas, kurang berat badan dan rambut gugur.  

Terbaharu, beliau menerima rawatan menggunakan sejenis hormon untuk tempoh dua bulan. Rawatan diteruskan dengan ubat lain selama satu setengah tahun.  

“Saya bersyukur kerana boleh menjalani hidup dengan lebih baik tanpa rasa sakit. Lebih menggembirakan, saya dapat berpuasa penuh dan kualiti hidup lebih baik,” katanya.  

DARAH TAK KELUAR 

Endometriosis adalah lapisan tisu melapisi kawasan di dalam rahim yang dipanggil endometrium. 

Hasil tindakbalas kepada perubahan hormon pada setiap kitaran haid, sebahagian daripadanya berkembang dan membesar sebelum dilepaskan sebagai haid.  

Endometriosis ialah satu keadaan di mana pecahan sel endometrium tumbuh di tempat lain di luar rahim seperti dinding rahim, ovari, ligamen di dalam pelvis, tiub fallopio dan organ-organ pelvis lain. 

Ada empat peringkat endometriosis berdasarkan tahap penempelan tisu endometrium di luar kawasan rahim serta kesan perekatan yang berlaku iaitu peringkat 1 (minimum), 2 (ringan), 3 (sederhana) dan 4 (teruk). 

Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Seremban 2, Dr. Nur Aishah Abdul Lati berkata, setiap kitaran haid, darah dari pecahan ini tidak dapat keluar kerana ia tertanam dalam tisu di kawasan sekitar pelvis.  

“Bintik darah kecil ini akan berkembang dan menyebabkan iritasi kepada tisu berhampiran. 

“Apabila sel-sel ini membesar mengikut putaran haid, proses radang berlaku menyebakan gejala berlaku seperti sakit dia bahagian pelvis, merangkumi bawah pusat sehingga pangkal paha,” katanya.  

Sekiranya pesakit datang dengan senggugut yang teruk, doktor akan menjalankan pemeriksaan ginekologi serta menawarkan pemeriksaan ultrasound di bahagian pelvis. 

Dr. Nur Aishah berkata, endometriosis yang boleh dilihat adalah kewujudan sista di dalam ultrasound. 

“Diagnosis secara jitu adalah melalui prosedur pembedahan laparaskopi di bahagian pelvis untuk melihat keberadaan tisu endometriosis di luar kawasan uterus,” katanya.

PUNCA MASIH SAMAR 

Punca endometriosis berlaku belum dapat dikenal pasti, namun teori yang sering digunakan adalah retrograde menstruation theory. 

Ia berkenaan darah haid yang mengalir ke belakang dan keluar melalui tiub fallopian ke kawasan luar uterus dan seterusnya menyebabkan sel-sel endometrium menempel di situ.  

Pelbagai teori lain turut dibincangkan, namun kajian perlu dilakukan untuk membuktikan teori-teori berkenaan.  

GEJALA ENDOMETRIOSIS 

Pesakit biasanya mengalami kesakitan di pelvis iaitu senggugut yang semakin teruk, sakit di antara waktu haid, semasa atau selepas persetubuhan, semasa membuang air besar atau air kecil ketika haid. 

Dr. Nur Aishah berkata, penghidap turut mengalami masalah ketidaksuburan atau mandul. 

“Keradangan hasil dari sel-sel endometrium yang aktif di kawasan luar uterus menyebabkan wujudnya tisu parut dan perekatan organ-organ di pelvis.  

“Tisu parut ini boleh menyebabkan kerosakan kepada ovari dan tiub falopia. Bergantung kepada kerosakan serta perlekatan yang berlaku, pesakit yang menghidapi penyakit ini sebenarnya masih boleh mengandung,” katanya.  

Tambahnya, sebuah kajian menyatakan 31 peratus pesakit endometriosis mempunyai isu ketidaksuburan namun kehamilan boleh membuatkan gejala penyakit bertambah baik.

BUKAN PENYAKIT KETURUNAN 

ENDOMETRIOSIS bukanlah penyakit keturunan tetapi tidak dinafikan yang penyakit ini lebih cenderung berlaku sekiranya ahli keluarga terdekat seperti ibu, anak perempuan dan adik beradik perempuan mempunyai masalah sama.  

Menurut kajian dari Kanada, bangsa Asia Timur dan Asia Tenggara mempunyai 10.9 kali lebih cenderung untuk mendapat endometriosis peringkat tiga (sederhana) dan empat (teruk) berbanding orang barat.  

“Menurut WHO, lingkungan usia sama dengan mana-mana negara iaitu wanita di dalam lingkungan umur reproduktif dari kali pertama mendapat haid sehingga menopaus. Dianggarkan 10 peratus masyarakat dunia menghidapi penyakit ini bersamaan 190 juta orang.  Dipercayai 1 dari 10 wanita mengalami masalah ini,” kata Dr. Nur Aishah. 

RAWATAN  

Rawatan endometriosis terbahagi kepada secara perubatan dan secara pembedahan. 

Dr. Nur Aishah berkata, tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan gejala serta mengurangkan kesan kerosakan terhadap bahagian organ yang berkaitan. 

“Rawatan bergantung kepada umur pesakit, keinginan pesakit untuk mengandung atau tidak serta tahap penyakit. 

“Rawatan secara perubatan yang boleh diberikan adalah menggunakan ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) untuk mengawal kesakitan dan mengurangkan aliran haid. 

Pil cegah hamil (gabungan rawatan hormon estrogen dan progesteron atau progesteron sahaja) digunakan untuk mengawal kadar hormon yang merangsang tumbesaran endometriosis,” katanya. 

Pesakit juga akan diberikan suntikan Gonadotrophin Releasing Hormone (GnRH) untuk menghentikan haid dan menghentikan tumbesaran endometriosis 

PEMBEDAHAN 

Pilihan rawatan untuk endometriosis termasuklah pembedahan yang boleh dilakukan melalui laparoskopi atau pembedahan konvensional. 

“Pembedahan ini mungkin membabitkan pendekatan rekonstruktif, di mana endometriosis dibuang dan organ yang terjejas dipulihkan untuk mengekalkan kesuburan.  

“Pembedahan juga boleh membabitkan pembuangan rahim dan kadang-kadang ovari dengan tujuan mengurangkan kesakitan yang teruk pada pesakit setelah kaedah rawatan sebelumnya tidak berjaya,” katanya yang menegaskan, setiap rawatan boleh memberikan kesan yang berbeza-beza pada setiap individu.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN