Temasya Budaya Perak angkat seni warisan pelancongan negeri - Utusan Malaysia

Temasya Budaya Perak angkat seni warisan pelancongan negeri

SANDREA Ng Shy Ching menyempurnakan Majlis Perasmian Temasya Budaya Perak 2026 di Dataran Udang Galah, Teluk Intan, Perak kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penganjuran Temasya Budaya Perak 2026 yang berakhir semalam ternyata menjadi medium berkesan mengangkat keindahan seni, warisan dan pelancongan negeri melalui kepelbagaian etnik dan kaum.

Bertemakan slogan ‘Ate, Moh Leraih!’, temasya berimpak tinggi dihiasi pelbagai program mencerminkan elemen seni, budaya dan warisan serta identiti majmuk rakyat Perak telah menarik kehadiran 65,000 pengunjung dengan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak RM500,000, selain nilai perhubungan awam bernilai RM800,000.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, temasya itu merupakan siri keenam daripada 15 program pelancongan budaya yang telah dirancang melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada tahun ini.

“Penganjuran ini bertepatan mendukung aspirasi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dengan meletakkan keunikan seni, budaya dan warisan tempatan sebagai aset serta tarikan pelancongan yang bernilai tinggi.

“Pengisian program dan aktiviti menarik termasuk seni persembahan, reruai budaya, Pesta Moh Makan yang melestarikan hidangan tradisional, sukan rakyat, 14 program pencungkilan bakat dan pertandingan serta jualan produk seni tempatan memberi pengalaman amat bermakna kepada pengunjung,” katanya.

ANTARA persembahan menarik pada Majlis Perasmian Temasya Budaya Perak 2026 di Dataran Udang Galah, Teluk Intan, Perak kelmarin.

Mohd. Yusri berkata demikian pada Majlis Perasmian Temasya Budaya Perak 2026 di Dataran Udang Galah di sini kelmarin yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung dengan pelbagai persembahan yang memukau khalayak.

Pengunjung dan peserta temasya turut teruja kerana dapat menyertai pertandingan tarian bubu, pertandingan senam seni 2.0 peringkat negeri, bicara berirama, perang kata, sayembara deklamasi puisi negeri, seni lukis wajah keluarga, mobilegrafi, tinta Jawi serta demonstrasi permainan diabolo.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk S. Surrendren dan Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris.

Sandrea yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Temasya Budaya Perak 2026 yang memasuki tahun kelima sejak diperkenalkan pada 2022 terus berkembang sebagai wadah yang menghimpunkan seni, adat resam, kulinari, permainan tradisional dan pelbagai warisan kaum di negeri ini.

“Slogan ‘Ate, Moh Leraih!’ cukup dekat dengan cara masyarakat Perak berbahasa kerana membawa pelawaan supaya orang ramai datang beramai-ramai, menyaksikan sendiri pengisian yang disediakan dan merasai pengalaman budaya yang ditampilkan sepanjang temasya berlangsung.

“Warisan budaya akan terus bertahan apabila ada masyarakat yang mengamalkannya, penggiat yang mempersembahkannya, generasi muda yang mempelajarinya dan khalayak yang memahami nilai serta cerita di sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Amran berkata, temasya itu mengangkat Tarian Bubu Mencak atau dikenali Bubu Menari iaitu seni persembahan unik yang berakar umbi di daerah Kuala Kangsar dan lembah Sungai Perak.

“Bukan sekadar alat menangkap ikan, ‘bubu’ dalam persembahan ini diangkat menjadi simbol uniknya kreativiti masyarakat desa mengolah hasil alam menjadi seni persembahan.

“Ia melambangkan objek hari­an diubah menjadi satu bentuk hiburan memukau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN