MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memasuki fasa kerjasama antarabangsa dalam siasatan pelaburan melibatkan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) apabila proses mendapatkan dokumen dan keterangan saksi di luar negara akan dilaksanakan menerusi Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance, MLA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, SPRM kini bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi memulakan proses MLA kerana terdapat dokumen penting serta saksi yang berada di luar negara.
Katanya, tiga negara dikenal pasti untuk proses tersebut iaitu Dubai (Emiriah Arab Bersatu), Singapura dan Indonesia memandangkan dokumen berkaitan pelaburan dipercayai berada di negara terbabit.
“Ketika ini, kami hanya meneliti dokumen diperoleh daripada KWAP dan Kementerian Kewangan sahaja namun, saya percaya masih terdapat beberapa dokumen berkaitan yang berada di luar negara dan perlu diperoleh bagi melengkapkan siasatan.
“Kami juga perlu merakam keterangan beberapa saksi yang telah dikenal pasti yang kini mereka ini masih berada di negara-negara berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (ASEANPAC) Ke-22, di sini semalam.
Abdul Halim berkata, proses MLA dijangka mengambil masa agak lama kerana melibatkan bidang kuasa berbeza dan memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa di tiga negara terbabit.
Bagaimanapun, siasatan kes berkenaan berjalan mengikut perancangan dan SPRM akan terus mendapatkan semua bukti diperlukan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Katanya, siasatan bermula secara rasmi pada 17 Julai lalu dan dilaksanakan sepenuhnya bermula 20 Julai, dan berjalan lancar dengan pelbagai tindakan diambil bagi mengumpul bukti.
Setakat ini seramai 20 individu dirakam keterangan membabitkan pegawai-pegawai KWAP, pegawai Kementerian Kewangan (MOF), ahli Jawatankuasa Pelaburan Kewangan dan ahli panel pelaburan yang terlibat dalam membuat keputusan berkaitan pelaburan berkenaan.
SPRM mengutus surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan kerjasama dalam dua perkara utama.
“Pertama, mendapatkan maklumat kewangan melalui rangkaian kerjasama antarabangsa bagi mengesan kedudukan kewangan tiga syarikat di luar negara iaitu sebuah di Singapura dan dua di Indonesia.
“Kedua, menjalankan semakan terhadap Laporan Transaksi Tunai (CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) bagi mengenal pasti aliran kewangan pihak-pihak yang berkaitan dalam siasatan ini,” katanya. – UTUSAN










