KUALA LUMPUR: Seorang pakar pemulangan aset rentas sempadan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dana AS$1.8 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang dipindahkan ke dalam akaun SRC BVI, tidak digunakan untuk pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber asli.
Angela Barkhouse berkata, dana itu dipindahkan oleh SRC International kepada tiga akaun anak syarikatnya (SRC BVI) selama tiga tahun di antara 2011 dan 2014.
Beliau yang juga pelikuidasi bagi SRC BVI berkata, daripada AS$1.8 bilion itu, sejumlah AS$864.4 juta dipindahkan kepada Cistenique Investment Fund BV, Enterprise Emerging Markets Funds BV dan Pacific Rim Global Growth Ltd.
Namun ujar Angela, tiada satu pun daripada amaun AS$864.4 juta yang dibayar kepada ketiga-tiga syarikat itu, digunakan untuk membuat pelaburan dalam sektor sumber asli dan tenaga.
Menurut saksi plaintif kedua itu, bakinya diberikan kepada Muraset Ltd dan Gobi Resources Coal Ltd masing-masing sebanyak AS$15 juta dan AS$4.5 juta.
“Ketiga-tiga syarikat itu sebenarnya digunakan untuk mengaburkan pergerakan dana yang diselewengkan daripada SRC,” ujarnya dalam pernyataan saksi ketika memberi keterangan secara Zoom pada perbicaraan kes saman SRC International terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pakar pemulangan aset luar pesisir itu selanjutnya berkata, syarikat-syarikat terlibat dikatakan memegang portfolio pelaburan yang sah dan menjadi dana pelaburan bebas.
Namun, tujuan sebenar adalah untuk beroperasi sebagai saluran yang direka untuk membolehkan wang disalurkan kepada pihak ketiga, sambil memberikan gambaran yang munasabah tetapi sebenarnya palsu.
“Mereka tidak menggunakan wang yang diterima daripada SRC BVI (anak syarikat SRC) untuk melabur dalam portfolio pelaburan yang sah, sebaliknya memindahkan dana kepada pihak ketiga sejurus ia diterima, (selepas) menerima arahan,” katanya.
Angela yang juga Pengarah Urusan Quantuma International berkata, SRC International memindahkan sekitar AS$1.18 bilion ke akaun SRC BVI bagi tujuan pelaburan yang mana dana itu berasal dari pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada KWAP.
Beliau pernah mengetuai pasukan bagi menangani kes berprofil tinggi dan kompleks berkaitan penipuan, rasuah salah laku kewangan, konflik kepentingan, penyelewengan dan kecurian dana pelaburan milik beberapa negara.










