Mukadimah
SEJAK menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pada September tahun lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu beliau tidak menerima satu sesen peruntukan untuk pembangunan di kawasannya.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu memberitahu, beliau sudah tiga kali berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof demi mendapatkan peruntukan itu. Namun, katanya, ada sahaja kekangan seolah-olah kerajaan enggan memberi peruntukan itu.
Sehinggalah beliau menerima jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa baru-baru ini, namun beliau belum berpuas hati kerana jawapan itu seperti ‘tidak menjawab soalan’. Wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Fadhli Mohd. Sulaiman menemu bual Syed Saddiq di lobi Parlimen baru-baru ini untuk mengetahui lebih jelas perkara itu.
Boleh kongsi jika Yang Berhormat (YB) sudah menerima peruntukan pembangunan kawasan?
Sebaik sahaja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya pembangkang berunding berhubung peruntukan, saya terus hubungi Timbalan Perdana Menteri berbincang mengenai perkara itu tiga kali. Saya sudah menghantar surat untuk mendapatkan ketetapan. Tetapi, rundingan demi rundingan tiada kata putus sehingga kini.
Namun, saya tidak menyalahkan Timbalan Perdana Menteri, kerana segala keputusan terletak kepada Perdana Menteri. Tetapi, janganlah menipu dan membohongi kami. Dalam Dewan Rakyat kata, kalau mahu peruntukan boleh runding dan saya sudah berkali-kali melakukan rundingan.
Adakah YB dikenakan syarat tertentu?
Sebab itu saya tanya Fadillah, apa syarat-syaratnya? Adakah saya harus menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) atau bawa ke Parlimen dan sebagainya? Beliau kata, tunggu keputusan Perdana Menteri. Saya tidak sanggup lagi melihat setiap hari rakyat di kawasan saya susah kerana memerlukan bantuan.
Apa respons YB selepas menerima jawapan bertulis daripada Dr. Zaliha?
Saya tetap tidak berpuas hati kerana beliau tidak menjawab soalan saya. Padahal, Perdana Menteri yang kata perlu runding dahulu. Apabila sudah runding masih tidak dapat satu sen pun. Tidak mengapa, inikan prerogatif Perdana Menteri mahu beri atau tidak kan?
Adakah YB akan berunding untuk kali keempat?
Saya runding 100 kali pun saya tidak kisah. Saya tetap akan runding sehingga dapat peruntukan ini. Jangan hukum dan bertindak zalim terhadap orang susah di kawasan saya. Saya mahu bantu rakyat dan pengundi kawasan saya.
Jika YB tetap tidak menerima peruntukan ini bagaimana?
Kalau tidak mahu beri kepada saya sebagai Ahli Parlimen atau Pusat Khidmat Parlimen, tidak mengapa. Beri sahaja peruntukan kepada pejabat daerah. Cuma, saya bimbang bantuan kebajikan untuk rakyat, peruntukan untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang sedikit, contoh orang susah perlu susu dan lampin pakai buang, mereka pergi JKM tetapi tiada peruntukan, kemudian mereka datang kepada saya. Takkan saya harus berita mereka tunggu. – UTUSAN










