Bersatu, Pas nafi pemimpin mereka bakal sertai PKR - Utusan Malaysia

Bersatu, Pas nafi pemimpin mereka bakal sertai PKR

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli parlimen pembangkang menafikan dakwaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution terdapat individu berstatus profil tinggi daripada blok itu akan meninggalkan parti untuk bersama PKR.

Sekalipun dakwaan itu benar, pembangkang tidak tergugat kerana yakin akar umbi parti dan rakyat masih memihak kepada pembangkang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tiada maklumat diterima berhubung dakwaan Saifuddin.

“Saya tiada maklumat, itu sahaja. Ini jawapan yang sejujurnya,” kata Ahli Parlimen Putrajaya itu ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam.

Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika ditemui berkata, beliau tidak melihat terdapat kecen­derungan situasi itu berlaku kepada Bersatu, kerana semua ahli sudah menyatakan komitmen untuk terus setia bersama parti.

“Saya sering tertanya, siapa orang yang dikatakan itu? Sebab semua orang dalam parti ma­sing-masing memberi komitmen. Jadi, saya tidak fikir ini akan berlaku.

PENDAPAT

Masalah dalaman juga tiada, kalau perselisihan pendapat itu biasalah kerana kita bukan sempurna.

“Bersatu baik sahaja tetapi ada pihak lain ambil kesempatan terhadap kami, malah PKR sendiri pun ada juga seperti ini (perbezaan pendapat),” kata ahli Parlimen Masjid Tanah itu.

Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi Bersatu merangkap Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, penerimaan rakyat khususnya komuniti Melayu masih ke arah Bersatu.

“Saya pun tidak nampak ini berlaku. Kebanyakan sasaran mereka (kerajaan) ialah Ahli Parlimen kami. Yang akan sertai parti (PKR) itu peringkat dan jawatan apa? Kalau peringkat bahagian ini memang tidak menentu. Hari ini sokong lain, esok sokong lain,” katanya.

Ketua Penerangan Bersatu Johor merangkap Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas berkata, jika berlaku, isu tersebut bukan baharu kerana sudah bermula sejak pilihan raya negeri (PRN) di enam ne­geri sebelum ini.

“Saya tidak tahu apa strategi PKR sehingga buat kenyataan macam ini, tetapi, jika berlaku bukan baru sekarang,” katanya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula enggan mengulas lanjut dakwaan itu.

“Saya tidak mahu komen. Pas semua baik sahaja,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, Saifuddin berkata, individu berstatus profil tinggi daripada parti-parti pembangkang sama ada pemimpin atau bekas pe­mimpin dijangka meninggalkan parti mereka untuk menyertai PKR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN