PETALING JAYA: Cadangan membenarkan pelarian bekerja di Malaysia dibimbangi menyebabkan persaingan pekerjaan dengan rakyat tempatan selain memberi lebih banyak kesan buruk berbanding yang baik.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, rancangan itu perlu diteliti bagi memastikan manfaatnya itu melebihi sebarang keburukan yang mungkin timbul.
Menurut beliau, ia penting bagi kerajaan melaksanakan dasar itu dengan cara yang adil dan berkesan termasuk memastikan hak dan kebajikan semua pihak termasuk pelarian dan rakyat tempatan dilindungi.
“Pelaksanaan dasar melibatkan pelarian bekerja di Malaysia memerlukan kajian menyeluruh tentang kesan jangka panjang terhadap ekonomi, sosial dan keselamatan negara.
“Keperluan menyediakan peluang pekerjaan kepada pelarian dan pada masa sama menjaga kepentingan pekerja tempatan serta keselamatan negara adalah pertimbangan penting yang perlu diambil kira.
“Keputusan untuk melaksanakan dasar ini haruslah dibuat selepas melakukan kajian mendalam dan berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Mingguan Malaysia melaporkan, pelarian di negara ini akan dibenarkan bekerja bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor tertentu, selepas kajian terperinci dilakukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi melaksanakan pengumpulan data, pemetaan lokasi dan pengesahan jumlah sebenar pelarian sebelum kebenaran kerja dapat dilaksanakan.
Effendy berkata, keberkesanan pelaksanaan dasar itu juga perlu dinilai berterusan bagi memastikan ia memberi manfaat yang diingini.
Katanya, ini termasuklah melibatkan pemantauan terhadap impak sosial, ekonomi, dan keselamatan serta memberi perhatian kepada cadangan penambahbaikan yang mungkin diperlukan sepanjang pelaksanaan dasar tersebut.
“Prinsip-prinsip hak asasi manusia juga merupakan aspek yang sangat penting untuk dipertimbangkan dalam melaksanakan dasar ini,” kata beliau. – UTUSAN










