Anggota polis cedera ketika cuba tahan penagih - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera ketika cuba tahan penagih

SEBAHAGIAN penagih yang ditahan dalam ladang kelapa sawit Sungai Division semasa Op Tapis Khas di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang anggota polis cedera di lutut setelah bergelut dengan seorang penagih yang cuba melarikan diri dengan motosikal ketika Op Tapis Khas di sebuah ladang kelapa sawit di Bedong, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, anggota berpangkat konstabel berusia 20-an yang bertugas di Balai Polis Bedong itu memegang baju suspek, namun lelaki terbabit memecut motosikalnya menyebabkan mangsa terseret sebelum terjatuh.

Namun, suspek berjaya ditahan anggota polis berkenaan selepas itu dan siasatan mendapati dia memiliki dadah jenis heroin selain positif bahan terlarang yang sama selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadapnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, operasi diadakan sejak tiga hari lalu menyaksikan seramai 109 individu diperiksa dalam serbuan di tujuh lokasi di sekitar daerah itu.

“Antara lokasi serbuan adalah ladang kelapa sawit Sungai Divison, Pasar Bisik Kota Kuala Muda, Taman Ria Jaya, Kampung Raja, Kampung Benggali, Taman Sri Wang dan Bandar Baru, Sungai Lalang Bedong.

“Semua ‘port’ dadah berkenaan pernah diserbu sebelum ini namun tetap menjadi tumpuan penagih untuk melepaskan gian mereka,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Anuar, daripada jumlah itu, seramai 73 ditahan kerana disyaki penagih termasuk dua wanita yang kesemua mereka berusia antara 19 hingga 66 tahun.

“Jumlah dadah yang dirampas merangkumi heroin seberat 94.28 gram bernilai RM2,280, syabu 25.44 gram bernilai RM5,088 dan ganja seberat 1 kilogram bernilai RM1,001,” katanya.

Kata Anuar, semakan mendapati 39 individu terbabit mempunyai rekod jenayah lampau, dua berada dalam senarai dikehendaki. Kes disiasat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×