SEREMBAN: Pesilat dari Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai satu kejohanan di Sikamat, Seremban, semalam, ada memaklumkan kepada keluarganya untuk terus pulang ke kampungnya di Jerteh, Besut, Terengganu selepas kejohanan tersebut berakhir hari ini.
Abang Allahyarham, Wan Muhammad Hafiz Wan Hussin memberitahu, arwah adiknya yang dipanggil Acik dalam kalangan keluarga itu ada memberitahu ibu mereka untuk pulang ke kampung sebelum menyertai latihan di Vietnam 15 hari sebelum Aidilfitri.
“Arwah sudah dua hari di Seremban, dia ada menelefon ibu untuk memaklumkan akan terus pulang ke kampung selepas selesai kejohanan di Seremban pada hari ini. Dia ada memberitahu akan menyertai latihan di Vietnam 15 hari sebelum hari raya,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini hari ini.
Menurut Wan Muhammad Hafiz, adiknya yang merupakan anak keempat dari lima adik beradik itu telah aktif dalam sukan silat sejak dibangku sekolah dan merupakan pesilat Sukan Malaysia (Sukma) bagi negeri Terengganu.

Hari ini media melaporkan, Allahyarham Wan Muhammad Haikal, 20, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai Kejohanan Silat Pra-Sukma Negeri Sembilan 2024 di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Sikamat dekat sini petang semalam.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di HTJS dekat sini.
Beliau berkata, sebelum itu, Allahyarham sedang bertanding pada peringkat suku akhir bagi kategori Kelas I Putera menentang seorang peserta dari Johor dalam kejohanan itu kira-kira pukul 2.30 petang semalam .
“Kira-kira dua minit sebelum masa tamat Allahyarham tiba-tiba rebah dan pasukan perubatan bergegas memberikan bantuan kecemasan.
“Wan Muhammad Haikal telah dikejarkan ke HTJS oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Kampung Alur Selising, Jerteh, Besut, Terengganu kira-kira pukul 11.40 pagi tadi dari HTJS dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung tersebut selepas solat Isyak.-UTUSAN.










