350 bubur lambuk ‘licin’ tidak sampai sejam

350 bubur lambuk ‘licin’ tidak sampai sejam

AHLI-AHLI kariah masjid meletakkan bubur lambuk di dalam bekas sebelum diagihkan kepada orang ramai di Masjid Jamek Tapah Road, Tapah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Setiap kali Ramadan, bubur lambuk yang diagihkan secara percuma setiap hari oleh Masjid Jamek Tapah Road di sini pasti menjadi rebutan kariah sekitar malah sehingga Kampar dan Ipoh.

Tiada rahsia perihal ramuannya, namun kira-kira 350 bekas juadah itu akan licin kurang sejam sebaik sahaja mula diagihkan kira-kira pukul 2 petang.

Menurut tukang masak dan ahli kariah masjid, Mohd. Kamal Hashim, 53, agihan bubur lambuk percuma di masjid itu bermula kira-kira lima tahun lalu.

“Pada mulanya, idea ini tercetus sebagai aktiviti tambahan masjid pada bulan Ramadan selain acara berbuka puasa dan moreh.

“Saya tidak menyangka agihan bubur lambuk ini mendapat sambutan hangat daripada kariah sekitar termasuk ada yang datang dari Kampar dan Ipoh untuk menikmati juadah ini apabila berbuka nanti,” katanya di sini, semalam.

Katanya lagi, tiada had jumlah dikenakan kepada orang ramai yang ingin mengambil juadah itu, namun sebaiknya sekadar keperluan.

“Tiada had, ingin ambil empat hingga lima bekas sehari pun tidak mengapa asalkan jangan membazir. Saya tidak meletakkan had kerana mungkin ada keluarga yang memerlukan lebih dari satu.

“Selain itu, terdapat ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak ke kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) di masjid ini akan mengambil juadah ini untuk berbuka puasa kelak,” katanya.

Ujarnya, ada surau berhampiran yang mengambil bubur lambuk itu dalam kuantiti yang banyak untuk diberikan kepada golongan memerlukan terma­suk mereka yang tidak memiliki kenderaan di sekitar Tapah.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Ain Sofea Abdul Karim, 11, berkata, setiap hari tanpa berkecuali pada bulan Ramadan kecuali cuti, beliau pasti akan mengambil dua bekas bubur lambuk itu untuk keluarganya.

“Bubur lambuk ini sedap dan memang jadi kegemaran saya untuk berbuka puasa sebelum mengambil makanan berat yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN